Indonesia benarkan pembantu rumah bekerja di luar negara

JAKARTA: Kerajaan Indonesia kini membenarkan pembantu rumah dari negara ini bekerja di luar negara termasuk di Malaysia selepas mengadakan perbincangan tentang beberapa isu, termasuk perlindungan dan kebajikan terhadap pekerja terbabit.

Beribu-ribu wanita Indonesia berminat bekerja di Malaysia, Hong Kong, Singapura dan Taiwan setiap tahun kerana tertarik dengan gaji yang tinggi.

Gaji bulanan yang perlu diberi kepada pembantu rumah Indonesia ialah sekitar RM1,000.

Kos untuk membawa masuk seorang pembantu rumah dari Indonesia juga agak mahal, iaitu sekitar RM14,000.

Gambar hiasan

Majikan di Malaysia lebih berminat untuk mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia kerana kesamaan bahasa dan budaya.

Namun, beberapa kes penderaan pembantu rumah di luar negara menyebabkan Indonesia mengambil tindakan drastik dengan membekukan penghantaran ke luar negara.

Pemberhentian penghantaran pembantu rumah ke luar negara bermula tahun ini adalah bagi menjamin kebajikan dan keselamatan mereka dilindungi.

Namun, tindakan Indonesia itu menyebabkan ada daripada pembantu rumah yang kebanyakannya datang dari pedalaman dan luar bandar, cuba mencari jalan lain, secara haram semata-mata untuk memastikan mereka dapat memasuki Malaysia.

Pengarah Perlindungan dan Penempatan Pekerja Indonesia di Luar Negara, Soe Hindharno dipetik sebagai berkata oleh media Indonesia, kerajaan tidak akan menghalang wanita Indonesia ke luar negara tetapi mahukan jaminan keselamatan untuk mereka.

“Itu termasuk kerja-kerja berlebihan sehingga mendatangkan eksploitasi kepada rakyat kami. Sebagai contoh, pembantu rumah Indonesia tidak boleh dipaksa untuk memandikan anjing peliharaan majikan,” ujarnya. – Sarawakvoice

Leave a Reply