86 penghuni dipindahkan, Rumah Panjang Empaling diancam tanah runtuh

BINTULU: Seramai 86 penghuni sebuah rumah panjang di sini terpaksa berpindah selepas diancam tanah runtuh petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, insiden berlaku di Rumah Panjang Empaling, kilometer 60, Jalan Bintulu-Miri.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.28 petang dan tiga anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikejarkan ke lokasi.

“Apabila tiba sejam setengah kemudian,  pasukan mendapati tanah runtuh tersebut melibatkan struktur rumah yang pada asalnya memiliki lebih 250 penghuni.

Sehingga malam tadi katanya, kesemua penghuni dinasihatkan tidak mendiami rumah berkenaan kerana khuatir, insiden gelincir tanah akan berulang.

“Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan, namun semua penghuni rumah 32 pintu tersebut berkumpul di kawasan lapang di hadapan rumah panjang dan dijangka ditempatkan di Dewan SK Sengian Labang.

Turut berada di lokasi kejadian, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Jenny Banga dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Bintulu, Ukar Kelayang. – Sarawakvoice