Tiada belas kasihan kepada dalang calar imej jabatan – Pengarah Imigresen

MUKAH:“Tidak ada belas kasihan! Kita akan mengambil tindakan tegas dan tindakan mahkamah terhadap mereka yang mendalangi kebanjiran pendatang tanpa izin di negeri ini.

“Mereka telah mencalar prestasi dan nama baik Jabatan Imigresen di mata masyarakat,” tegas Pengarah Imigresen Negeri, Ken Leben.

Beliau dihubungi semalam bagi menjelaskan tangkapan terbesar pendatang tanpa izin pada tahun ini yang dicatatkan di Balingian pada Sabtu.

“Ia hasil kerjasama semua pihak, termasuk risikan Jabatan Imigresen yang akhirnya telah membuahkan hasil tangkapan yang banyak.

“Saya dan jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sama ada individu mahupun syarikat dalam menangani masalah isu kebanjiran pendatang tanpa izin ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching, dibantu oleh pegawai-pegawai operasi dari Sarikei, Sibu dan Sri Aman telah melaksanakan operasi besar-besaran, yang kemudian menjaring 189 pendatang tanpa izin.

Operasi yang dikenali sebagai Op Ikrar (Sapu) bermula sekitar jam 5.00 pagi itu diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri, Rosliah Kassim dan 72 pegawai operasi.

Pemeriksaan dilakukan di sebuah kawasan kongsi pekerja di sebuah tapak pembinaan di Balingian, Mukah dan seramai 367 individu diperiksa.

Antaranya ialah tiga lelaki tempatan, 155 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, 16 lelaki warga China, seorang lelaki Sri Lanka, 33 lelaki Filipina dan 25 warga Bangladesh.

Jurucakap penguatkuasa Imigresen berkata, hasil saringan membolehkan pihaknya menahan 119 lelaki dan dua wanita warga asing kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah ketika berada di negeri ini.

Kelompok ini katanya lagi, terdiri daripada 65 lelaki dan dua wanita Indonesia, 16 lelaki China, 16 lelaki warga India, empat warga Filipina serta 18 warga Bangladesh.

“Sementara 40 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, tiga lelaki India serta dua lelaki warga Filipina pula diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama; kerana tinggal lebih masa dari yang ditetapkan di negeri ini.
Katanya, turut ditahan, seramai 14 warga India dan tujuh warga Bangladesh dan seorang warga Sri Lanka kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Perkara.11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 — menyalahguna pas yang diberikan kepada mereka.

Dalam operasi tersebut, beberapa pegawai operasi mengalami kecederaan ketika berhadapan dengan pekerja asing yang bertindak agresif ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pihak Imigresen.

Kesemua tahanan yang ditangkap tersebut telah dihantar ke Depot Tahanan Pati Imigresen Semuja untuk tujuan siasatan lanjut. – Sarawakvoice