Raja Bomoh dipanggil beri keterangan

MELAKA: Ibrahim Mat Zin atau dikenali sebagai Raja Bomoh akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung upacara perbomohan yang dikatakannya ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman negara asing khusus Korea Utara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya menerima beberapa laporan mengenai perbuatan ritual oleh individu yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu dan siasatan terhadapnya akan dilakukan mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

“Kita boleh memanggil sesiapa sahaja mengikut kanun berkenaan untuk membantu dalam siasatan apabila laporan daripada orang awam diterima,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Sang Saka Biru sempena Hari Polis Ke-210 pada 25 Mac ini, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan pada majlis yang turut diadakan prapelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Khalid menyeru supaya Ibrahim menghentikan aktiviti ritualnya kerana tindakannya itu boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai terutama perkara yang membabitkan perbuatan syirik.

“Sebahagian masyarakat kita suka terlebih-lebih (dalam perbuatan). Ada ke patut menembak menggunakan buluh meriam. Ini perbuatan syirik. Syirik tidak ada dalam adat budaya kita.

“Cukuplah, jangan lakukan perkara yang mengarut. Perbuatan dia jelas memalukan orang Melayu. Saya minta dia hentikan dan jadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan,” katanya.

Pada 17 Mac lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan upacara perbomohan Ibrahim kerana menyebar luaskannya, secara tidak langsung akan mempromosikan individu terbabit.

Video dan pelbagai rakaman gambar aksi terbaharu Raja Bomoh yang juga Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia itu tular di media sosial baru-baru ini.

Aksi Raja Bomoh itu dipercayai dilakukan berikutan wujud ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas. Bernama

Leave a Reply