PRU-14: Pakatan Harapan Sarawak akan gugat kedudukan BN


KUCHING: Teka-teki mengenai kedudukan pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang terjawab semalam apabila mereka bersetuju menubuhkan Pakatan Harapan Sarawak.

Pakatan Harapan berkenaan terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara Negeri Sarawak (Amanah), tanpa penyertaan Pas yang di peringkat nasional juga berdepan masalah dengan parti pembangkang lain.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menjadi jurucakap gabungan itu dalam satu sidang media semalam berkata, mereka juga telah memuktamadkan rundingan mengenai peruntukan kerusi.

Sarawak hanya akan bertanding untuk kerusi Parlimen yang dijangka diadakan September atau Oktober depan memandangkan pilihan raya negeri baru diadakan Mei lalu.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen, dengan lima dikuasai DAP dan satu kerusi dimenangi PKR pada PRU-13.

Untuk PRU kali ini, pembangkang dijangka dapat mempertahankan kerusi terbabit.

Pakatan Harapan juga dijangka bertanding di semua 31 kerusi Parlimen.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan Pengerusi Amanah Sarawak Fidzuan Zaidi turut hadir dalam sesi berkenaan.

“Pada asasnya, persetujuan yang dicapai ialah bagi PRU14, parti berkenaan akan bertanding di kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU13.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, Amanah akan mendapat kerusi yang ditandingi oleh Pas dahulu.

Chieng Jen yang juga Adun Kota Sentosa tidak menolak akan berlaku beberapa perubahan, tertakluk kepada persetujuan dua hala antara parti terbabit, namun mengakui sekiranya konsensus tidak dicapai, mereka akan kembali kepada ketetapan bahawa parti yang bertanding di sesuatu kerusi pada PRU13 akan mempertahankannya pada PRU14.

Ujarnya, ketiga-tiga parti itu juga membentuk sebuah sekretariat dianggotai dua wakil daripada setiap parti yang akan menyelaraskan aktiviti dan kerjasama antara parti berkenaan.

Ia juga akan  serta bertanggungjawab untuk merangka manifesto bersama Pakatan Harapan Sarawak untuk PRU14. – Sarawakvoice

Leave a Reply