PRU-14:  Kalau Mahathir-Anwar dapat berdakap, bukan mustahil Najib mengucup dahi Hadi

Kapal terbang, tanpa mengira saiz memerlukan landasan yang stabil dan untuk mendarat dengan selamat. Mana-mana penumpang pesawat lazimnya akan berasa gerun apabila melihat landasan di hadapan terumbang ambing dan tidak rata.

Begitu jugalah keadaan dengan parti politik dan kerjasama antara mereka, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia. Parti politik tidak dilihat semata-mata parti, mereka ialah refleksi kepada kuasa, bentuk kerajaan dan penentu polisi utama negara selepas setiap kali PRU.

Semenjak PRU Persekutuan pertama pada 1955, kemudian PRU 1959 (pertama kali selepas Merdeka) sehinggalah kepada PRU-13 pada tahun 2013, kerjasama antara parti, khususnya bagi Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional (BN) berada di atas landasan yang stabil dan rata.

“Bukan mustahil Najib mengucup dahi Hadi”

Landasan (baca kerjasama parti dalam komponen BN) yang stabil ini membolehkan kerajaan yang dibentuk mewakili pelbagai kaum dan responsif terhadap tuntutan masyarakat. Landasan ini cuba ditiru oleh parti-parti pembangkang semasa PRU 1999, 2008 dan 2013 menerusi Barisan Alternatif (BA), kemudian Pakatan Rakyat (PR) dan baru-baru ini menerusi Pakatan Harapan (PH).

Selepas PRU-13, landasan kerjasama di sebelah parti BN dan pakatan pembangkang menjadi terumbang-ambing dan tidak lagi rata serta stabil.

Dalam BN misalnya, UMNO kembali bergolak seperti dapat dilihat menerusi penubuhan PPBM dan peranan Tun Mahathir. Langkah UMNO yang dilihat cuba berbaik-baik dengan PAS seperti dalam isu RUU355 tidak disenangi oleh komponen bukan Melayu BN seperti MCA, Gerakan dan MIC.

Kebelakangan ini beberapa orang pemimpin kanan MCA dan Gerakan tidak lagi teragak-agak membicarakan masa hadapan BN yang tidak akan sama lagi seperti dekad-dekad yang lalu sekiranya kerjasama antara UMNO dengan PAS diteruskan.

Di pihak pembangkang pula, Pakatan Harapan dibentuk dengan mengetepikan parti yang didukung oleh pengundi Melayu, iaitu PAS. Parti serpihan PAS, iaitu PAN diterima menyertai Pakatan Harapan. Pakatan Harapan juga menerima baik kemasukan PPBM yang dipimpin oleh Tun Mahathir.

Perkembangan terbaharu menunjukkan DAP, PKR, PAN dan PPBM yang bersama-sama dalam Pakatan Harapan kelihatan beria-ia ‘membuli’ PAS dengan melontarkan pelbagai tuduhan apabila usaha membawa masuk PAS ke dalam PH menemui jalan buntu.

Kepada UMNO, soal kerjasama dengan PAS amat menarik dalam suasana parti-parti komponen bukan Melayu BN seperti MCA, Gerakan dan MIC tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengundi-pengundi bukan Melayu.

Pola pengundian komuniti bukan Melayu semenjak PRU-12 dan 13, khususnya pengundi Cina jelas memihak kepada DAP. Sehingga kini tidak terdapat tanda MCA dan Gerakan dapat bangkit semula dan menambat hati pengundi Cina.

Situasi ini memberi risiko besar kepada UMNO/BN dan lompang ini hanya dapat diisi jika PAS dapat diajak bersama. Gambaran tentang rupa bentuk kerajaan dan polisi yang bakal diperkenalkan sekiranya kerjasama UMNO-PAS dilihat amat melemaskan, khususnya kepada pengundi bukan Melayu.

Perkembangan terbaharu  menunjukkan tiada yang mustahil dalam politik Malaysia. Kalau Mahathir dan Anwar Ibrahim boleh berpelukan, masakan Najib Razak tidak boleh mendakap dan mengucup dahi Hadi Awang! – Sarawakvoice