PM Najib mahu tindakan sabotaj ekonomi dihentikan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak tertentu berhenti daripada melakukan tindakan mensabotaj ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, pendapat dan pandangan yang dibuat tanpa fakta dan asas bertujuan memburukkan ekonomi negara sedikit sebanyak membawa sentimen yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Oleh itu, perkara ini tidak wajar diteruskan walaupun kita ada perbezaan pendapat politik, tapi kepentingan negara tidak seharusnya dijadikan sebagai pertaruhan dalam soal politik kepartian.

“Ini amat penting sebab kepentingan negara sepatutnya mengatasi segala-galanya dan inilah yang saya harap dan saya merayu jangan ada unsur-unsur sedemikian,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin tahu bagaimana kerajaan menangani tekanan ke atas ringgit dan sabotaj ekonomi yang dilakukan oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan kestabilan ekonomi negara terjejas.

Perdana Menteri mengambil contoh di mana kerajaan baru-baru ini hampir terlepas pelaburan besar RM31 bilion Saudi Aramco disebabkan oleh tindakan sabotaj yang dilakukan pihak-pihak tertentu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan berjaya meyakinkan pelabur berkenaan dengan mengemukakan fakta-fakta yang tepat mengenai keadaan sebenar ekonomi negara.

“Alhamdulillah, kita berjaya yakinkan mereka bahawa ekonomi Malaysia ini ditangani dengan begitu baik dan kita mendapat penarafan yang tinggi oleh badan-badan penarafan.

“Umpamanya kita dalam kategori ‘A-‘, hanya beberapa negara sahaja dalam kategori ‘A’, tetapi apa yang disebarkan pihak tertentu adalah sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang ingin tahu cara-cara kerajaan mengatasi tekanan ke atas ringgit, Perdana Menteri berkata penyusutan nilai mata wang bukanlah unik kepada Malaysia sahaja, sebaliknya keadaan ini turut dialami mata wang serantau yang mencerminkan terutamanya pengukuhan dolar Amerika Syarikat.

Katanya, penyusutan nilai ringgit kebanyakannya didorong oleh perubahan aliran dana yang dipengaruhi faktor luaran.

Menurut Najib antaranya termasuk jangkaan bahawa kadar faedah di Amerika Syarikat yang meningkat pada kadar yang lebih cepat, ketidaktentuan dalam harga minyak mentah dunia dan kebimbangan terhadap kadar pertumbuhan ekonomi serta ketidaktentuan pasaran kewangan di China.

Selain itu, katanya, ketidaktentuan politik di United Kingdom, kawasan Eropah dan Amerika Syarikat juga menjejaskan permintaan terhadap aset dalam pasaran sedang pesat membangun.

“Faktor-faktor ini telah memberi kesan negatif terhadap kebanyakan mata wang negara-negara sedang pesat membangun dan serantau, termasuk ringgit,” katanya.

Perdana menteri berkata, dalam menangani penyusutan nilai ringgit dalam jangka masa pendek, kerajaan akan sentiasa memastikan pasaran pertukaran mata wang asing tidak terjejas supaya kegiatan ekonomi berjalan lancar.

Najib berkata, pada masa sama kedudukan rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$95 bilion akan terus menjadi penampan kepada turun naik yang berlebihan dalam pasaran kewangan.

BNM juga, katanya, akan terus menyediakan mudah tunai di pasaran tempatan bagi memastikan keadaan pasaran yang stabil dan teratur.

Katanya lagi, Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama BNM, juga mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan pasaran perlindungan nilai dan mengatasi ketidakseimbangan dalam pasaran pertukaran asing negara.

“Ini termasuk memastikan penukaran hasil eksport dalam mata wang asing ke ringgit. Aliran perolehan eksport mata wang asing ke dalam pasaran kita akan meningkatkan mudah tunai mata wang asing dalam pasaran dalam negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun hanya dua bulan sejak pengumuman langkah-langkah ini, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hasil yang menggalakkan di mana turun naik nilai ringgit telah menunjukkan kestabilan yang ketara sejak langkah-langkah itu dilaksanakan. Bernama