Perang tiga penjuru PRU14: Kerjasama Pas dengan Bersatu, PKR putus?

PERMATANG PAUH: Dengan dakwaan tindakan PKR bekerjasama dengan Dap dan Parti Amanah Negara (Amanah), Pas Permatang Pauh di Pulau Pinang meminta agar Pas Pusat memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Menurut Yang Dipertua Pas Permatang Pauh Omar Hassan pada Ahad, gerak-geri PKR yang dikatakan bertentangan dengan prinsip tahaluf siyasi dan dapat menjejaskan kedudukan Pas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Omar mendakwa usul itu mendapat undian sebulat suara selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah terus berkerjasama dengan Dap dan Amanah yang didakwa menyerang kepimpinan Pas.

Omar juga mendakwa terdapat cubaan oleh PKR memujuk ahli Pas agar menyertai perjuangannya dengan turut menawarkan jawatan dalam kerajaan Dap di Pulau Pinang.

Terdahulu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali merasmikan Mesyuarat Tahunan Pas Permatang Pauh.

Sebelum ini, pada Sabtu di peringkat Pas Pusat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu pemberita di Cyberjaya bahawa parti itu tidak mengadakan kerjasama rasmi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pendirian dibuat ekoran tindakan Bersatu menyertai gabungan Pakatan Harapan (Harapan) bersama-sama PKR, Dap dan Amanah.

Hadi mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan parti Bersatu membuat permohonan rasmi menyertai Harapan.

Mahathir juga mencadangkan nama Harapan ditukar serta satu lambang diperkenalkan bagi menghadapi PRU14.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas sudah membuat kenyataan berkaitan hubungan parti berkenaan dengan Bersatu.

Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menurut Harakahdaily 15 Mac menyatakan Pas menganggap mereka tidak ada lagi hubungan dengan Bersatu kerana parti berkenaan menyertai Harapan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap kenyataan Mohd Amar bersifat peribadi dan bukan keputusan rasmi yang ditentukan pada muktamar Pas April depan. – Sarawakvoice

Leave a Reply