Litar pintas, lambat potong arus elektrik sukarkan bomba tangani kebakaran rumah rehat di Limbang

LIMBANG: Kelewatan pemotongan arus elektrik menyukarkan pasukan bomba melakukan tindakan ofensif dalam mengawal kebakaran di Rumah Rehat Pejabat Daerah Limbang malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.56 malam dan dua jentera, satu ambulans EMRS dan sebuah prime mover water tanker diatur gerak ke lokasi dengan kekuatan 15 anggota.

“Pasukan tiba 11 minit kemudian dan mendapati api telah menjilat 90 peratus bangunan rumah rehat satu tingkat Pejabat Daerah Limbang jenis struktur kekal itu.

“Bergerak secara pantas, pasukan menggunakan teknik defensif bagi menyelamatkan empat kenderaan pejabat yang kebetulan diparkir berdekatan.

Semasa kejadian kata Tawang, terdapat dua penghuni iaitu penjaga bangunan sedang berada di rumah yang bersaiz 40 kaki x 36 kaki tersebut.

Kedua-duanya bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

“Untuk kerja-kerja pemadaman ini, pihak kita telah membentangkan empat aliran, dan menggunakan lapan nozel dan dua unit pam angkut relay pumping untuk menyedut air dari Tasik Mas Sungai Limbang.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh satu jam,” katanya lagi yang turut berterima kasih dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Seberang Kedai, pasukan polis, Sesco dan Angkatan Pertahanan Awam.

Menjelas lanjut, Tawang memberitahu proses pemadaman terpaksa menggunakan kaedah relay pumping dari air sungai dan tasik kerana kawasan tersebut tiada pili bomba.

“Setakat ini kita percaya kebakaran berpunca daripada litar pintas kerana
saksi ada mendengar bunyi kilat semasa hujan lebat berlaku.

Corak api katanya, yang merebak serentak dalam bangunan turut menyukarkan proses pemadaman walaupun menggunakan empat aliran dan lapan nozel. – Sarawakvoice

Leave a Reply