Internet M’sia hanya 6.4Mbps, ranking ke-74 global, tangga ke-9 Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Tan Kar Hing wakil rakyat Parti Keadilan Rayat (PKR) bagi kerusi negeri Simpang Pulai, Perak melahirkan rasa terkilan apabila kedudukan Malaysia merosot satu anak tangga lagi berada pada ranking ke-74 dunia pada 2016 dari segi purata kelajuan internet.

Purata kelajuan internet Malaysia ialah sekitar 6.4 megabait sesaat (Mbps) berada pada tangga ke-9 dalam kalangan 15 negara Asia Pasifik.

Memetik kenyataan Tan yang disiarkan oleh Malay Mail Online pada Jumaat lepas, beliau kecewa kerana Malaysia antara negara paling awal menceburi dunia siber dengan memperkenalkan Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya 1990-an.

Menurut laporan syarikat internet Akamai Technologies Inc, pada suku pertama 2016, senarai ranking kelajuan internet Asia Pasifik ialah: Korea Selatan purata kelajuan internet 29Mbps, Hong Kong 19.9Mbps, Jepun 18.2Mbps, Singapura 16.5Mbps, Taiwan 14.8Mbps, New Zealand 10.5Mbps dan Thailand 10Mbps.

Bahkan, Malaysia terletak di belakang Thailand dari segi pencapaian kelajuan internet yang mungkin merugikan ekonomi berasaskan internet Malaysia jika dibiarkan.

Tan turut mencabar kerajaan memberi penjelasan berhubung status Projek High Speed Broad Band (HSBB) fasa kedua yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2014 lalu.

Beliau mempertikaikan sepanjang tempoh tiga tahun itu, adakah projek dengan pelaburan sekitar RM4.9 bilion mencapai sasaran untuk mempertingkat kelajuan internet sehingga 10Mbps.

Serta adakah kerajaan berjaya memperluas liputan internet di luar bandar seperti dirancangkan?

Tan bagaimanapun menyambut baik kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bahawa usaha menggandakan kelajuan internet Malaysia dilaksanakan dalam tempoh dua tahun. – Sarawakvoice

Leave a Reply