Dialog Mahathir-Nazri: Tak perlu penyokong Umno, BN

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menjelaskan, tujuannya menerima cabaran berdialog dengan Tun Dr Mahathir Mohamad  adalah untuk memberi penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan kepada pihak pembangkang.

Isu yang bakal dibangkitkan antara lain adalah tentang 1MDB dan BMF.

Justeru, kata Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, beliau tidak mengharapkan kehadiran pemimpin Umno-BN untuk hadir memberi sokongan ke sesi dialog pada 25 Mac ini.

Malah, mengakui tidak menjadi masalah jika beliau seorang berdepan dengan pihak pembangkang.

Nazri dan Mahathir sejak 2006 lagi cabar-mencabar, dan akhirnya Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyahut cabaran Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Saya bukan mahu bercakap dengan perwakilan Umno. Saya mahu bercakap dengan  pembangkang,” ujarnya.

“Saya nak minta orang Umno-BN tak usah datang, saya tidak ada masalah jika seorang saja,” katanya di lobi, Parlimen, hari ini.

Mengenai tetamu jemputan, beliau menyerahkannya kepada penganjur.

Dialog antara Nazri dengan bekas Perdana Menteri yang kini menjadi pengkritik tegar kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar pada jam 3.00 petang, 25 Mac.

Nazri  berpendirian dialog yang kini menarik perhatian ramai itu tidak perlu disiarkan secara langsung memandangkan Mahathir bukan mewakili pembangkang, dan beliau pula tidak mewakili kerajaan. – Sarawakvoice

Leave a Reply