Abang Jo pilih China untuk rangka hubungan dalam bidang pelancongan dan perumahan

Beijing, CHINA: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pagi tadi menyaksikan perjanjian persefahaman di antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan syarikat pemaju pelancongan antarabangsa China, Beijing Glory International Culture Development Co. Ltd di Hotel Nou di sini.

Menurut Setiausaha Akhbarnya, Ambrose Cheng, perjanjian itu bertujuan untuk membangunkan potensi pelancongan Sarawak serta meningkatkan pengurusan hospitaliti di antara kedua-dua pihak.

Pengerusi baharu SEDC, Tan Sri Datuk Amar Haji Aziz Hussain dan Pengurus Besarnya, Datu Soedirman Aini menurunkan tandatangan mewakili SEDC dan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri tiba di ibu negara China petang semalam; yang merupakan lawatan rasmi ke luar negara pertamanya sejak dilantik sebagai Ketua Menteri pada 13 Januari lalu.

Beliau ditemani isteri, Datin Amar Juma’ani Tuanku Haji Bujang, Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani.

Turut serta dalam rombongan, Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Penguang Manggil.

Malam ini rombongan akan terbang ke bandar raya Kunming, sebelum berkunjung ke Hong Kong dan Guangzhou. – Sarawakvoice