41 tahi judi dijaring polis di seluruh negeri, termasuk jual loteri haram

KUCHING: Menyedari aktiviti penjualan loteri haram kembali panas di pasaran, hingga berani dilakukan di tempat terbuka, Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak mula bertindak tegas minggu lalu apabila melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negeri.

Ketuanya, Datuk Dev Kumar berkata, sebanyak 26 serbuan dilakukan bermula 13 Mac hingga semalam, yang melibatkan pelbagai aktiviti dan premis judi, dan hasilnya 41 tahi judi berjaya dijaring.

“Daripada jumlah serbuan ini, 22 serbuan dilakukan terhadap premis loteri 4D haram,” katanya lagi.

Sebanyak 14 serbuan katanya, dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Siasatan Jenayah Kontijen, Daerah Kuching (2), Daerah Sibu (2), Daerah Padawan (2).

Daerah Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Daerah Bau, Daerah Saratok dan Daerah Marudi pula masing-masing mencatatkan satu serbuan.

“Daripada 22 serbuan terhadap penjual loteri 4D haram, sebanyak 26 individu dicekup manakala wang tunai berjumlah
RM6,633 dirampas.

“Turut disita telefon bimbit, mesin pencetak, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis.

“Kebanyakan serbuan dilakukan di pusat komersial Kenyalang, lokasi yang paling banyak menerima aduan.

Kata Dev lagi, selain 4D haram, serbuan turut melibatkan judi siber di Bau dan Marudi, yang menghasilkan dua tangkapan manakala 34 unit komputer dan tablet yang digunakan untuk berjudi disita.

“Dalam satu serbuan 4D haram di medan selera di Kenyalang, pihak kami berjaya menahan lapan lelaki yang terlibat dalam pertaruhan lumba kuda.

“Kesemua mereka ditahan dengan jadual lumba kuda, telefon bimbit dan slip pertaruhan dirampas.

Berdasarkan statistik, daripada 41 yang dicekup, 25 adalah lelaki dan mereka berusia dalam lingkungan 17 ke 70 tahun.

Sebanyak 12 serbuan jelasnya dilakukan di tempat awam iaitu di kaki lima, lapan di rumah kedai, empat kedai runcit dan dua si kedai kopi.

Kesemua mereka yang dicekup disiasat kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi 1953.

Tegas Dev lagi, pihaknya akan meneruskan serbuan di sekitar bandar raya ini dan seluruh negeri bagi mengekang aktiviti perjudian. – Sarawakvoice

Leave a Reply