Usul gesa putuskan hubungan dengan PKR

TUMPAT: Batalkan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Itulah hasrat akar umbi parti Islam itu yang ingin melihat hubungan dengan PKR diputuskan.

Perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar dalam  Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat di sini malam tadi berkata, langkah itu perlu diambil kerana PKR yang mengaku mempunyai hubungan dengan Pas, masih mengekalkan kerjasama dengan DAP dan Amanah.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden memberi jaminan akan membawa suara akar umbi yang mendesak parti pada muktamar tahunan di Kedah, bulan depan.

Katanya, berdasarkan perkembangan semasa sudah tidak ada lagi keperluan untuk Pas terus menjalinkan kerjasama dengan PKR yang dilihat lebih selesa mengikut kehendak DAP daripada menjaga hati Pas.

“Parti itu langsung tidak menghormati kita termasuk pernah mengambil ahli Pas sebagai jentera pada pilihan raya umum lalu tanpa makluman,” katanya merujuk kepada keadaan di Pulau Pinang, selepas merasmikan mesyuarat berkenaan.

“Jadi kita tidak boleh bersetuju dengan perkara ini dan oleh itu, sudah masanya Pas mengkaji semula hubungan,” ujarnya.

Malah, mereka turut mendesak Pas mengambil balik kerusi yang dipinjamkan kepada PKR pada pilihan raya umum lalu (PRU13).