SFC buru buaya serang Bismillah di Pusa, berjaya jerat buaya betina sepanjang 2.27 meter

BETONG:Berikutan kematian seorang penduduk, Bismillah Rajali, 46 tahun akibat serangan buaya pada minggu lepas, satu operasi penakaian dan pemindahan buaya dilaksanakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Sungai Undai, Pusa.

Menurut jurucakap SFC, operasi ini dikendalikan bersama-sama oleh Unit SWAT SFC ibu pejabat dan Pejabat Wilayah Sibu; bermula pada Khamis lalu.

“Sepanjang lapan hari operasi dijalankan, seekor buaya betina berukuran 2.27 meter telah berjaya ditakai pada Jumaat lalu, sebagai hasil tujuh cangkuk serta umpan yang dipasang dalam lingkungan tiga kilometer di sepanjang Sungai Undai.

Buaya betina tersebut berjaya ditangkap kira-kira 100 meter dari lokasi serangan.

“Unit SWAT kami akan meneruskan pemerhatian di kawasan tersebut dan buaya yang dianggap boleh mendatangkan bahaya akan ditakai dan dipindahkan keluar dari sungai,” katanya lagi.

Turut membantu dalam operasi tersebut ialah pasukan polis Betong. – Sarawakvoice