Sarawak rancang pembinaan LRT hubungan Serian, Samarahan dan Kuching – Abang Johari

KUCHING: Sarawak bakal memiliki sistem aliran transit ringan (LRT) tidak lama lagi, apabila perancangan mengenainya dimulakan sedikit masa lagi.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan itu dilakukan bagi menyediakan alternatif pengangkutan awam untuk menghubungkan bandar-bandar baharu dan pinggir bandar di negeri ini.

“Dengan adanya kemudahan tersebut, kawasan pinggir bandar dan bandar baharu akan dapat dihubungkan ke pusat bandar dalam tempoh selewat-lewatnya 30 minit,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)@Muara Tuang di sini.

Beliau telah mengarahkan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Urbanisasi yang baharu, Datu Sudarsono Osman untuk mengetuai perancangan projek ini, serta memikirkan elemen pengangkutan awam lain yang bersesuaian untuk Sarawak.

“Ketika ini mungkin kosnya agak murah kerana kerajaan boleh merancang pengambilan tanah tanpa membayar ganti rugi mahal, sambil tidak melibatkan kawasan yang sesak.

“Kita melakukan perancangan ini demi kepentingan rakyat.

“Perancangan yang teratur ini akan menyelesaikan isu pengangkutan awam di negeri ini, yang semakin dijerut kesesakan waktu puncak,” tambahnya.

Pada sidang media selepas itu, Menteri Perumahan dan Urbanisasi ini berkata, perancangan awal ke arah pengangkutan awam moden ini akan lebih menjimatkan dari segi kos.

“Ia juga akan memberi ruang kepada kita untuk membangunkan perumahan yang teratur di kawasan pinggir bandar, dan mengelakkan populasi tertumpu kepada kawasan bandar semata-mata.

Tiga kawasan yang akan dirangkaikan dengan kemudahan ini ialah Serian, Samarahan dan Kuching, termasuk Tanjong Datu.

Menjawab kritikan umum sebelum ini yang menyifatkan populasi Sarawak begitu sedikit, Ketua Menteri berkata, populasi lebih satu juta di kawasan ini akan bertambah dengan adanya pelancong dan pengunjung luar yang berkunjung ke kawasan-kawasan ini.

“Yang penting adalah keselesaan para pengguna kemudahan ini,” katanya lagi. Sebelum ini, cadangan yang sama pernah timbul dalam Kajian Pelan Induk Urbanisasi Sarawak pada tahun lalu, yang dibentangkan oleh Abang Johari di Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak.

PPA1M@Muara Tuang ini merupakan projek kedua yang dilancarkan di Sarawak selepas Miri. Inisiatif ini adalah untuk membantu penjawat awam, khususnya golongan berpendapatan rendah dan menengah untuk memiliki rumah di bawah harga pasaran.

Projek ini dimajukan di atas tanah seluas 18 ekar, dan dilengkapi pelbagai kemudahan moden bertaraf premium. Sebanyak 246 unit rumah bandar dan 94 unit rumah teres dua tingkat berkonsepkan moden kontemporari kini sedang dalam proses pembinaan, dan dijual pada harga di antara RM263,500 hingga RM345,000. – Sarawakvoice

Leave a Reply