Sarawak bakal dirangkaikan dengan LRT dan MRT – Abang Johari

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai sistem aliran transit ringan (LRT) atau kemudahan aliran transit massa (MRT) sebagai tambahan kepada sistem pengangkutan awamnya.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg perkara tersebut merupakan antara komponen sistem pengangkutan awam yang turut diberi tumpuan dalam pembentukan Pelan Induk Pembangunan Semula Bandar Sarawak yang akan bermula pada tahun hadapan.

sarawak-lrt01

Menurutnya, keputusan akhir mengenai jenis sistem pengangkutan awam tersebut akan menunggu hasil cadangan kajian pelan induk tersebut.

“Kajian ini yang melibatkan bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri itu akan mengambil masa lapan hingga 12 bulan.

“Dan pada tahun 2018, kita dijangka akan mula melaksanakannya,” katanya lagi ketika diminta mengulas Bajet 2017 yang dibentangkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem semalam.

Abang Johari menjelaskan, kemudahan pengangkutan tersebut dicadangkan kerana Sarawak kini semakin berkembang, terutamanya dengan kejiranan satelit yang semakin bertambah.

“Perancangan tersebut harus mengambil keperluan untuk 20 ke 50 tahun akan datang.

15167563_10209175752085570_5396275088063275655_o

“Dan Sarawak memiliki populasi yang cukup, dengan Kuching dan Samarahan sahaja, menjangkau sejuta lebih penduduk pada hari ini,” jelasnya.

Pelan Induk tersebut katanya, turut memberi tumpuan kepada pembangunan semula sesetengah kawasan kediaman yang berusia lebih 100 tahun seperti Darulhana di Kuching dan beberapa kawasan di Sibu.

“Tetapi kawasan warisan seperti Kuching Lama di Main Bazaar yang ada nilai sejarah akan kita pulihara,” katanya.

Dalam Bajet 2017, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi menerima peruntukan berjumlah RM30 juta untuk membangunkan pasar penjaja dan pusat rekreasi/riadah di bandar-bandar utama di negeri ini.

screen-shot-2016-11-22-at-8-09-08-am

Manakala sejumlah RM232 juta diperuntukkan untuk membangunkan 2,396 Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat untuk golongan berpendapatan rendah, di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Sejumlah RM66 juta tambahan turut diperuntukkan untuk menampung dana Kerajaan Pusat bagi membina 1,040 Rumah Mampu Milik, 140 unit Rumah Mesra Rakyat dan melaksanakan 14 skim pembesaran kampung.

Mengulas bajet tersebut, Abang Johari menyifatkannya sebagai bajet yang menekankan kepada pembangunan, terutamanya luar bandar selain bidang strategik, seperti pelancongan.

“Biarpun berlaku defisit RM300 juta, yang pertama dalam tempoh 14 tahun, ia bukan masalah yang besar.

“Ia berlaku kerana hasil kita terjejas kerana krisis minyak global.

“Tetapi pada akhirnya kelak, defisit ini akan dapat ditangani kerana kita memiliki rizab yang mencukupi,” katanya lagi. – Sarawakvoice, diterbitkan pada 22/11/2016

sarawak-lrt00

crosstown_vehicle-583x315

Leave a Reply