Pas tidak boleh ikut cara parti pembangkang lain atau Umno

KUALA LUMPUR: Adalah silap jika ada ahli Pas yang mahu parti Islam itu mengikut cara fikir, matlamat, hala tuju serta strategi parti seperti  parti pembangkang lain — baik DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN), atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM),  sementelah lagi Umno, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas.

Sebaliknya, menurut Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Pas meyakini bahawa matlamat perjuangan politiknya adalah agar negara ini berjaya diperintah berdasarkan prinsip dan dasar pemerintahan Islam kerana hanya Islam yang boleh menjamin hak dan keselamatan seluruh rakyat dan agar dakwah Islam dapat disampaikan kepada seluruh umat manusia.

“Oleh itu sangat silap apabila seseorang menilai PAS menerusi kaca mata matlamat dan hala tuju perjuangan parti politik yang tidak berteraskan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Pas sebagai parti politik Islam mempunyai kayu ukur dan neraca tersendiri dalam menentu dan menilai matlamat dan hala tuju perjuangan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Menurut Dr Mohd Khairuddin lagi, sebarang kerjasama politik untuk berkuasa dengan mana-mana pihak sama ada parti politik atau badan bukan kerajaan hendaklah dengan tujuan mencapai matlamat tersebut.

“Tiada sebarang kerjasama dengan mereka yang menentang agenda perjuangan ini kerana ia adalah kerjasama atas dasar dosa dan kezaliman yang diharamkan oleh Islam,” ujarnya.

“Juga tiada ruang kerjasama dengan sesiapa yang bersama dengan pihak yang menentang perjuangan ini,” tambahnya.

Dalam hubungan ini, ujarnya, sesiapa yang menentang matlamat perjuangan ini maka dia berpotensi menjadi musuh walaupun dalam masa yang sama dia juga adalah sasaran dakwah Pas.

“Matlamat kemuncak mencapai reda Allah mungkin juga diketawakan oleh mereka yang berpolitik hanya untuk dunia dan berpolitik hanya untuk berkuasa semata-mata tanpa pertimbangan syurga dan neraka,” katanya.

Atas kefahaman ini, tambahnya,  maka ahli Pas tidak pernah kecewa jika kalah dalam pilihan raya.

“Mereka bersabar atas kekalahan dan meneruskan perjuangan menyampaikan dakwah dan menegur serta menentang kezaliman pemerintah semasa sehinggalah menanti pilihan raya seterusnya. Inilah perjuangan PAS yang tersemat kukuh dalam dada setiap ahli Pas,” katanya. – Sarawakvoice