Malaysia hampir terlepas pelaburan Saudi Aramco kerana sikap tidak patriotik  – PM Najib

PUTRAJAYA: Malaysia hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco kerana sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang menyalurkan maklumat tidak betul mengenai negara kepada syarikat minyak Arab Saudi itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Saudi Aramco pada mulanya keberatan untuk melabur di Malaysia setelah diberi maklumat kononnya Malaysia diletakkan dalam kategori berisiko politik.

Katanya Saudi Aramco diberikan maklumat kononnya Malaysia tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bangkrap dan kerajaan tidak berkemampuan untuk membayar gaji penjawat awam.

“Ini kerana ada orang yang tiada hati perut, motif mereka adalah politik tetapi yang jadi mangsa adalah rakyat Malaysia,” katanya ketika melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata hanya apabila diberikan maklumat sahih bahawa Malaysia adalah negara yang berjaya dan mendapat penarafan A, kepercayaan Saudi Aramco terhadap Malaysia dikembalikan dan Malaysia mendapat pelaburan RM31 bilion.

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada 28 Feb menandatangani perjanjian pembelian saham dengan Saudi Aramco bernilai RM31 bilion bagi membolehkan syarikat Arab Saudi itu membeli 50 peratus ekuiti dalam aset kraker dan penapisan di bawah Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (RAPID).

Najib berkata pelaburan RM31 bilion kepada Malaysia membawa erti kepada golongan muda terutamanya bahawa ia dapat mewujudkan pekerjaan dan memberi masa depan yang lebih terjamin.

“(Namun) ada orang beri maklumat palsu bak kata Presiden Amerika (Amerika Syarikat Donald Trump) ‘fake news’ (berita palsu).

“Apa yang berlaku, rezeki yang hampir-hampir kita dapat, hampir terlepas dari tangan kita,” katanya.

Najib berkata persepsi negara perlu diperbetulkan supaya imej negara diletakkan pada tahap sebenarnya. Bernama

Leave a Reply