Lelaki maut dirempuh secara berdepan di Bau

BAU: Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandunya dirempuh secara berdepan oleh sebuah kenderaan lain di kilometer 18, Jalan Gumbang-Bau jam 7 pagi semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun sedang menghala ke Gumbang dari Bau sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Impak rempuhan tersebut menyebabkan mangsa yang memandu Proton Wira tersepit dan cedera parah di tempat duduk pemandu.

“Khidmat pasukan bomba dan penyelamat kemudian digunakan untuk mengeluarkan mangsa, sebelum disahkan tidak lagi bernyawa oleh paramedik bertugas.

Mangsa yang maut kata Mathew, dikenal pasti sebagai Ramsonady Caymon, 28 tahun.

Pemandu dan penumpang kenderaan Proton Iswara pula mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bau untuk proses bedah siasat.
Punca kemalangan sedang dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice