Lelaki masuk simpang maut tercampak 24 meter selepas dirempuh Proton Saga di Jalan Serian

SIBURAN: Seorang lelaki tercampak 24 meter sebelum menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan Proton Saga.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, insiden berlaku sekitar jam 5.10 petang semalam di Batu 24 Jalan Kuching-Serian.

“Ketika kejadian, mangsa dari Kampung Skuduk, Batu 24 sedang menunggang Honda Wave-5 dan hendak memasuki simpang ke Dragon School, Jalan Serian Lama dari arah Kuching.

“Bagaimanapun tindakan mangsa itu tidak disedari pemandu Proton Saga berusia 33 tahun, yang sedang bergerak lurus dari Serian ke Kuching.

“Pemandu tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa, menyebabkannya terpelanting jauh.

Kata Mathew, kematian mangsa Nyadan Ja’au, 53 tahun kemudian disahkan mati oleh pasukan paramedik, sebelum dibawa menggunakan kenderaan polis ke Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.

Pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Siburan turut dipanggil bagi membantu mengangkat mayat serta membersihkan kesan kemalangan.

Punca kejadian kata Mathew, masih disiasat dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Leave a Reply