Ketaasuban kepada pemimpin menyumbang kepada kelemahan parti – Abdul Rahman Dahlan

KUALA PILAH: Ketaasuban anggota parti kepada seseorang pemimpin, khususnya mereka yang telah meninggalkan UMNO, mampu menyumbang kepada kelemahan parti, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata perjuangan parti bukanlah berkisar kepada seseorang pemimpin, sebaliknya untuk orang Melayu keseluruhannya.

“Perjuangan UMNO bukan berkisar kepada (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (bekas timbalan perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja.

“Perjuangan UMNO ini besar kepada orang Melayu. Kalau kita taksub kepada seseorang pemimpin sahaja, kita akan kalah kerana UMNO tidak akan dapat kekuatannya atas ketaksuban kepada pemimpin sebaliknya kesetiaan kepada institusi parti,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan serentak mesyuarat 125 cawangan UMNO Bahagian Kuala Pilah.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah yang juga Exco Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dan anggota Parlimen Kuala Pilah yang juga Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Abdul Rahman berkata UMNO yang memasuki 70 tahun penubuhannya mampu bertahan sehingga kini kerana kesetiaan akar umbi kepada kepimpinan dan institusi parti.

“Dalam sejarah kita, kadang-kadang yang memporak-perandakan parti bukannya akar umbi…bila pemimpin atasan bertelagah dan sebagainya. Alhamdulillah selama ini saya kira orang UMNO faham kesetiaan mereka adalah kepada parti dan kepimpinan parti.

“Bila pemimpin ini berubah selera nak buka parti baharu, kesetiaan mereka haruslah kepada parti. Soal berpecah belah ini biasa…DAP pun berpecah tapi UMNO ini kita kembali ke pangkal jalan iaitu UMNO untuk orang Melayu bukan pemimpin dan sebab itu UMNO dapat bertahan,” katanya. Bernama