Jumlah pesakit buah pinggang pelbagai peringkat cecah 400,000 – Dr Hilmi Yahaya

PUTRAJAYA: Jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang dari tahap satu hingga tahap lima pada masa ini dianggarkan mencecah 400,000 orang, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Daripada jumlah itu, 40,000 merupakan mereka yang mengalami masalah buah pinggang tahap lima dan memerlukan rawatan dialisis dan selebihnya merupakan mereka yang mengalami masalah buah pinggang dari tahap satu hingga tahap empat.

“Jumlah mereka yang mengalami masalah buah pinggang ialah 200 kes bagi setiap sejuta penduduk Malaysia.

“Angka ini boleh bertambah setiap tahun jika tidak ada langkah untuk mencegah masalah obesiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan

Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat Kebangsaan di Taman Botani di sini hari ini.

Dengan tema ‘Penyakit Buah Pinggang dan Obesiti’ acara sambutan berkenaan bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat untuk mengelak obesiti dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti berbasikal, berjoging dan pengambilan makanan yang sihat.

Dr Hilmi berkata lebih 6,000 kes baharu penyakit buah pinggang dikesan setiap tahun. Bernama

Leave a Reply