Dua maut tiga cedera selepas Perodua Axia langgar tiang telefon di Lachau

SRI AMAN: Dua maut dan tiga cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar tiang telefon di Kilometer 31, Jalan Sri Aman-Serian pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 7.15 pagi tadi.

“Sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan tujuh anggota kemudian dikejarkan ke lokasi berhampiran Pekan Lachau dan tiba 27 minit kemudian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang terbabas sebelum melanggar tiang telefon dan berada dalam keadaan separuh terbalik.

“Seorang daripada mangsa tersepit pada pintu depan, manakala seorang lagi terbaring dalam ruang kenderaan.

Kata Ling Hii, pasukan kemudian bertindak menstabilkan kenderaan, sebelum mangsa-mangsa kemudian dikeluarkan dengan menggunakan Hydraulic Rescue Tool.

“Pihak kita mengambil masa 18 minit untuk mengeluarkan mangsa dan setelah dikeluarkan, kedua-dua mangsa yang tidak sedarkan diri tersebut disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Mereka kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai pemandu Sultan Untang, 43 tahun dari Kampung Jungkal, Betong dan Romualdo Alim, 18 tahun dari Kampung Sungai Besai, Pantu.

Tiga lagi penumpang lain termasuk dua beradik hanya mengalami cedera ringan. – Sarawakvoice