Debat Mahathir-Nazri: Siapa menang?

Hanya tinggal enam hari lagi akan berlangsung debat seru antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Sri Nazri Aziz.

Kedua-duanya bermulut leser, lantang, celopar, dan tidak peduli apa kesan kata-kata yang keluar dari mulut mereka.

Sesungguhnya, ini pertemuan antara buku dengan ruas.

Dua singa politik akan beradu kata di pentas debat yang ditunggu-tunggu.

Debat ini bukan sahaja bersejarah kerana tidak banyak yang berani untuk berdebat dengan Mahathir.

Juga kerana tidak pernah berlaku menteri berdebat dengan bekas perdana menteri.

Namun Nazri memang jantan kerana cakap serupa bikin.

Beliau pemimpin politik berpengalaman dan menteri kanan yang telah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri.

Tidak ada sebab untuk Nazri takut kepada bekas bossnya itu.

Debat ini disifatkan sesetengah pihak sebagai pertembungan antara dua watak dan personaliti yang cuba menegakkan ego masing-masing.

Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri mahu melanyakkan Nazri, manakala Nazri pula mahu ‘mengajar’ Mahathir bahawa beliau sudah ketinggalan zaman.

Nazri mahu membentangkan permaidani merah untuk Mahathir di Padang Rengas, tempat debat itu berlangsung, tetapi Mahathir tidak kisah. Dia sanggup mengharungi lumpur, dan tak perlu permaidani merah.

Nazir bukan sahaja hendak mempertahankan kerajaan, tetapi juga Najib yang menjadi musuh utama Mahathir.

Selepas cabar-mencabar, akhirnya mereka bersua di Padang Rengas Sabtu ini.

Kedua-duanya dikenali sebagai pemimpin politik yang mempunyai kelebihan dari segi pengucapan awam — bercakap berterus terang, menggunakan kata-kata dengan kekuatan ekspresi dan pemilihan kata dan ungkapan yang menghiris.

Pertikaman lidah dalam debat ini akan diukur bukan sahaja dari segi kepintaran mereka berhujah, dengan kekuatan hujah masing-masing, tetapi bagaimana mereka dapat menangkis hujah lawan.

Wacana tandingan sama penting dengan wacana pejal didukung fakta, data dan hujah pejal.

Saya percaya, mereka akan menampilkan kata-kata yang penuh ketajaman, wit, dan jenaka, serta penuh sindiran.

Mahathir terkenal sebagai orang yang suka menyindir, manakala Nazri pula bermulut celopar dan akan menikam tajam dengan kata-kata pedasnya.

Dapat dijangka, Nazri akan dedahkan skandal RM22 bilion di Bank Negara Malaysia pada pertengahan 1990-an ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, Mahathir akan eksploitasikan skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion dan beberapa isu yang melingkari kerajaan.

Ini ialah debat balas dendam, dengan dua singa politik akan bertarung. Kita dapat jangkakan mereka akan saling mengulang fakta lama, manakala akan terkeluar juga fakta dan rahsia yang belum lagi didedahkan.

Siapakah yang akan memang dalam debat ini?

Kemenangan ditentukan oleh kekuatan hujah, fakta dan penangkisan hujah berdasarkan fakta. Kita harap tidak akan berlaku serangan peribadi dalam debat ini. – Sarawakvoice

Leave a Reply