Bapa hilang kawalan, anak maut selepas kereta terjun sungai dari jambatan di Bintulu

BINTULU: Seorang bapa pasti sedih dan ralat apabila kehilangan anak selepas kenderaan yang dipandunya melanggar tiang sebuah jambatan di sini sebelum terjunam ke dalam sungai.

Pemangku Timbalan Ketua Penguatkuasa dan Siasatan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang semalam di Jambatan Sungai Mas, Jalan Pesisir Bintulu-Tatau.

“Ketika kejadian, kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu bapa tersebut yang berasal dari Rumah Nyalipan, tidak jauh dari situ sedang menuju ke Kuala Tatau dari pasar Bintulu.

Setibanya berhampiran jambatan, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu melanggar tiang jambatan dan terbalik, sebelum terjunam ke dalam sungai.

“Pemandu dan dua penumpang lain cedera ringan manakala seorang lagi penumpang, iaitu anak kepada pemandu, maut.

Kenderaan tersebut juga remuk teruk di bahagian hadapan.

Kata Mathew, mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Wiki Sanjie, 19 tahun, yang seharusnya menyambut ulang tahun kelahirannya sembilan hari lagi.

“Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada kecuaian pemandu dan tangkapan telah dilakukan.

“Bagaimanapun suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya diambil.
Kes ini kata Mathew, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca. – Sarawakvoice

Leave a Reply