Aktivis bantah konvensyen Felda anjuran Pakatan Harapan

SHAH ALAM: Sekumpulan aktivis hari ini membantah Konvensyen Warga Felda yang dianjurkan Pakatan Harapan sambil mempertikaikan motif dan agenda konvensyen itu diadakan.

Mereka berkumpul di pintu hadapan Bangunan SUK Selangor, dekat sini sambil memaparkan pelekat dan kain rentang, antaranya berbunyi “Kami haramkan Pakatan Harapan menjejakkan kaki di Felda” dam “Kepercayaan kami tidak berbelah bahagi kepada YAB PM sebagai Menteri Felda”.

Konvensyen Warga Felda anjuran Pakatan Harapan berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Aktivis Felda dari Felda Chemomoi, Datuk Amizar Abu Adam berkata,  warga Felda tidak bersetuju dengan konvensyen ini kerana tidak mendapat penjelasan yang jelas.

“Sebab itu zaman ibu bapa kami susah, apa yang mereka lakukan? Hanya melihat sahaja, hari ini pula mahu buat sokongan kepada warga Felda dan mereka tahu Felda ini adalah kekuatan orang Melayu,” katanya.

Isu Felda termasuk  kerugian syarikat Felda Global Ventures (FGV) sentiasa hangat dan dijadikan isu politik memandangkan sokongan pengundi Felda penting untuk menentukan survival Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Hakikatnya, isu berkaitan Felda sentiasa mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, termasuk keperluan perumahan.

Amizar berkata, mereka mahu memberi isyarat kepada Pakatan Harapan supaya tidak menyebarkan fitnah.

“Kalau ada salah kita perbetulkan dengan jalan yang baik bukan dengan fitnah dan bukannya nak menjatuhkan Felda,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

“Kami tidak akan terima walaupun setitik dalam resolusi yang dilaksanakan dalam konvensyen ini nanti,” ujarnya. – Sarawakvoice