Wanita maut gara-gara 4wd gagal potong kenderaan di Jalan Sibu-Bintulu

SIBU: Kegagalan seorang pemandu pacuan empat roda memotong sebuah kenderaan membawa padah apabila bertembung sebuah van dan mengorbankan seorang wanita petang semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, insiden berlaku sekitar jam 4.15 petang di kilometer 80 Jalan Sibu-Bintulu.

“Ketika kejadian, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ini sedang bergerak ke Sibu dari Bintulu manakala van tersebut dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut jelasnya, ialah seorang perempuan warganegara Indonesia berumur 43 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan.

“Mangsa menghembuskan nafas terakhir semasa dalam perjalanan ke Hospital Sibu.

“Manakala pemandu van dan pemandu pacuan empat roda, serta tiga penumpang van hanya cedera ringan.

Kata Mathew, mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Maani Muhammad Saleh.

Punca kejadian katanya, kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice