TPM akui Korea Utara ugut Malaysia

KUALA TERENGGANU: Di sebalik ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara, negara ini tidak terlepas daripada menerima ugutan daripada negara itu.

Ketegangan berpunca daripada kenyataan duta Korea Utara ke negara ini yang membawa kepada tindakan persona  non grata dan penyingkiran beliau, dan Korea Utara turut bertindak balas dengan tidak membenarkan pegawai dan keluarga kakitangan kedutaan Malaysia di negara itu keluar. Malaysia juga mengambil langkah sama.

Sembilan rakyat Malaysia masih berada di Pyongyang dan tidak dibenarkan meninggalkan negara itu di bawah larangan yang dikenakan Korea Utara.

Kes pembunuhan berprofil tinggi yang menarik perhatian media antarabangsa membabitkan  abang pemimpin negara itu, Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.Meskipun mengakui menerima ugutan namun Timbalan Perdana Menteri, belum bersedia mendedahkan butir lanjut tentang ugutan itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid sebaliknya menegaskan negara masih mempunyai pemimpin rasional yang tidak akan menggunakan pendekatan mengancam keselamatan nyawa rakyat.

“Ya, kita diugut, kita diancam. Saya tak mahu menyebut lebih dari itu kerana sembilan rakyat negara kita masih ada di negara itu, tetapi rakyat mereka juga ada di negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kelompok Persidangan Umno Cawangan Peringkat Terengganu di Stadium Negeri, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, daripada sejumlah 2,453 orang rakyat Korea Utara di negara ini, seramai 191 menyertai Malaysia My Second Home (MM2H), 801 tenaga kerja, 187 pelombong dan 11 orang belajar di pusat pengajian tinggi.

Beliau  menegaskan, keselamatan rakyat Korea Utara di negara ini terjamin walaupun hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan kes pembunuhan itu.

Katanya,  pemimpin Malaysia sentiasa bersikap rasional menangani kes pembunuhan rakyat Korea Utara Kim Jong-nam walaupun menghadapi tekanan luar.

“Kita akan hormati mana-mana pemimpin luar selagi mereka hormati pemimpin kita. Kita tak mahu menggunakan ini sebagai rundingan untuk kita korbankan rakyat kita dan kita tak mahu korbankan rakyat mereka di negara kita,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dan para pemimpin kerajaan tetap mengambil pendekatan rasional bagi mengelakkan sebarang kemungkinan daripada berlaku.

Justeru, beliau meminta seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara.

“Rakyat perlu bersatu dengan mengetepikan perbezaan politik dalam kalangan kita… perbezaan agama dan bangsa, demi negara, keselamatan dan memastikan negara kita aman,” katanya. 

Leave a Reply