Tiga das tembakan untuk pecahkan tayar kenderaan dicuri penyamun degil di Bintulu

BINTULU: Aksi kejar-mengejar berhalaju tinggi sebuah lori pikap dan tiga buah kereta peronda polis pada Khamis berakhir apabila tiga das tembakan dilepaskan.

Tembakan tersebut kemudian mengenai tepat pada dua tayar lori pikap terbabit, menyebabkannya pecah, dan kenderaan tersebut terbabas sebelum terhenti.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zailani Amit memberitahu, situasi itu tidak terhenti setakat itu, pemandu degil tersebut berusaha pula melarikan diri, namun berjaya ditahan setelah berlaku sedikit pergelutan.

Kejadian itu kata Zailani, bermula sekitar jam 9.30 malam apabila pasukan ronda tersebut mendapat maklumat akan kehilangan lori pikap berwarna putih jenis Mazda di kawasan Kampung Baru, dekat sini.

“Apabila tiba di lampu isyarat Tanjung Kidurong, pasukan terbabit terserempak dengan kenderaan hilang tersebut dan mengarahkannya berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun pemandu terbabit berdegil sebaliknya terus memecut kenderaan, mengakibatkan proses kejar- mengejar berlaku.

Disertai dua kenderaan peronda lain, polis mengejar suspek sejauh kira-kira 15 kilometer di Jalan Nyabau-Kidurong; dengan kenderaan dipandu laju dan berbahaya hingga mengancam nyawa.

Suspek turut bertindak melanggar kenderaan peronda polis sebelum tembakan dilepaskan, kata Zailani lagi.

Sejurus dihentikan, suspek cuba melarikan diri apabila diserbu polis dan ini menyebabkan berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun suspek akhirnya berjaya ditangkap tanpa sebarang kecederaan serius biarpun terdapat sedikit lebam d bawah mata kanan.

Berdasarkan siasatan awal kata Zailani, suspek yang berusia 33 tahun mengaku bukan sahaja mencuri lori pikap tersebut malah turut melarikan sebuah lagi lori pada pagi yang sama.

Lori terbabit kemudian turut dijumpai semula.

Kerjaya sebagai mekanik di Batu Lapan di sini sebelum ini memudahkan tugas suspek yang berasal dari sebuah rumah panjang di Jalan Teku Pasai, Sibu menyamun kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. – Sarawakvoice

Leave a Reply