Sempadan negara terkawal biar ada usaha seludup kereta curi – Panglima 1 Div

KOTA SAMARAHAN: Panglima Markas Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw hari ini memberi jaminan bahawa kawalan keselamatan sempadan negara adalah amat terkawal.

Menurutnya, biarpun wujud beberapa cubaan melakukan jenayah rentas sempadan, dan penyeludupan barang, namun ketika ini keadaannya tidaklah hingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Tindakan mengekang dan menahan penjenayah yang cuba menyeludup kereta curi ke sempadan Indonesia baru-baru ini misalnya adalah bukti kejayaan ini.

“Kejayaan ini disebab kemampuan anggota bertindak lebih agresif dan melaksanakan operasi dengan lebih komited,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Perbarisan Penutup Modul Orientasi Pertahanan Negara Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam INTAN siri 4/2017 di sini pagi tadi.

Lanjutan kejayaan itu katanya, beliau telah mengarahkan anggota-anggota tentera yang terlibat dalam operasi agar lebih agresif dalam memantau situasi perbatasan.

Mengakui bahawa banyak “lorong tikus” di sempadan negara, Stephen menjelaskan kawalan telah dilakukan dengan baik di kawasan tersebut dan kebanyakan pergerakan di sempadan kini adalah melalui jalan yang diluluskan.

Setakat ini jelasnya, belum ada cadangan untuk membuat benteng atau pagar di sepanjang garis sempadan negara.

“Tidak ada cadangan seumpama itu sebab kosnya yang terlalu mahal.

“Sebaliknya cadangan yang dimaklumkan kepada kita adalah untuk menubuhkan Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem).

Menerusi Aksem katanya, semua agensi kerajaan berkaitan akan bekerjasama mengawal sempadan negara.

Untuk mengelakkan sempadan negara bolos selain mengawal pergerakan bebas keluar masuk, apa yang boleh dilakukan adalah memperbanyak Pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

“Ia lebih membolehkan orang awam masuk keluar ke negara ini mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya kepada 63 bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang mengikuti kursus tersebut, pengalaman mengikuti Modul Pertahanan Negara DPA INTAN ini seharusnya dimanfaatkan untuk meningkatkan disiplin diri dan mempelajari nilai-nilai kepimpinan serta semangat bekerjasama dalam satu pasukan.

“Saya berharap ilmu yang diberikan, terutama berhubung konsep pertahanan negara, peranan dan tugas Angkatan Tentera Malaysia terutama dalam aspek
hubungan pertahanan dan polisi luar difahami.

“Pada masa yang sama kita perlu memahami bahawa untuk menjadi seorang penjawat awam yang baik,kita perlu menjadikan diri kita seorang yang terhormat, berdisiplin dan berintegriti,” katanya lagi.

Latihan di Perkampungan Ikhtiar Hidup Kem X-Ray 10 RRD ini dijalankan sejak 8 Mac lalu dengan mendedahkan peserta kepada asas organisasi ketenteraan, berkawad, menembak, dan menjalankan aktiviti fizikal lasak seperti mendaki gunung serta latihan ketahanan dan keyakinan diri.

Pada majlis tersebut, Kadet Ivy diumum kadet terbaik keseluruhan diikuti penembak terbaik (Kadet Abdul Hakim) dan Disiplin Terbaik (Kadet Yuslihazraf Mohd Yusup). – Sarawakvoice