Saya kagum hutan fizikal Sarawak – Menteri Zimbabwe

KUCHING: “Ini pertama kali saya melihat hutan secara fizikal. Saya amat mengkaguminya dan berharap negeri ini mengekal dan memuliharanya.”

Itu kekaguman yang dilontar Menteri di Negeri Bulawayo, Zimbabwe, Eunice Boyo sewaktu menjadi tetamu Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sarawak malam tadi.

Pertama kali berkunjung ke Asia Tenggara, Boyo jelas kagum dengan industri kebudayaan dan pelancongan di negeri ini.

“Saya seronok melihat industri kebudayaan seperti tarian dan kraftangan dimajukan di sini.

“Oleh itu saya bercadang agar diadakan program silang budaya antara kedua-dua negeri,” katanya.

Majlis tersebut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom.

Kerana kagum dengan keindahan yang ada di Sarawak, beliau menawarkan diri untuk menjadi “duta” yang mempromosikan negeri ini di Zimbabwe.

Rombongan Boyo mengadakan lawatan ke Kampung Budaya Sarawak, Pusat Kraftangan Sarawak dan belayar di Sungai Sarawak semalam dan hari ini akan berkunjung ke Pusat Hidupan Liar Semenggok. – Sarawakvoice