Sarawak tolak RUU355 kerana diskriminasi hukuman, bukan kerana hudud – Ketua Menteri

MUARA TUANG: Bukan kerana hudud, tetapi khuatir akan diskriminasi hukuman terhadap pesalah berlainan agama yang melakukan kesalahan yang sama, menjadi punca Sarawak menolak RUU355, kata Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Ia menolak spekulasi liar yang mengatakan arahan terhadap penolakan cadangan itu disebabkan ia menjurus kepada pelaksanaan hukum hudud.

“Ia sebenarnya soal diskriminasi perundangan. Bagaimana untuk memastikan hukuman yang adil terhadap pesalah yang berbeza agama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Muara Tuang pagi tadi.

Menjelas pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalu semalam, Abang Johari berkata, kedua-duanya membincangkan pelbagai perkara termasuk isu berkaitan Akta Setem.

“Sarawak dan Sabah memiliki Kanun Tanah sendiri dan seharusnya hasil daripada kutipan royalti, premium dan bayaran duti setem sewaktu transaksi hartanah dikekalkan kepada negeri, bukannya diserahkan kepada Kerajaan Pusat, seperti pindaan yang bakal dicadangkan.

Pertemuan dengan ahli parlimen Sarawak pada minggu lalu, turut bersetuju menyuarakan pandangan Kerajaan Negeri Sarawak berhubung hal ini, tambahnya lagi. – Sarawakvoice