Pembangkang semakin terdesak raih undi

KUALA LUMPUR: Pembangkang semakin terdesak meraih undi sehingga sanggup mengelirukan rakyat, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Justeru, katanya, rakyat perlu berwaspada dengan sikap pembangkang yang semakin terdesak dan pelik apabila selalu mengubah pendirian dalam segala hal.

“Rakyat harus berwaspada dengan sikap pembangkang yang semakin terdesak dan pelik apabila  banyak membuat pusingan ‘U’ dalam segala hal. Segalanya bakal dieksploitasi oleh pembangkang asalkan boleh meraih undi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

“Setiap perjuangan pembangkang hanyalah hipokrit semata-mata. Dahulunya mereka bersungguh-sungguh meyakinkan pengundi kaum Cina, bahawasanya segala hal berkaitan agenda Islam seperti hudud adalah tidak berkaitan dengan mereka,’ katanya.

Beliau berkata, malangnya pada hari ini, mereka dilihat lebih agresif pula untuk menentang usul persendirian RUU355 yang dibawa oleh Pas.

Sebelum ini, kerajaan  memberi jaminan bahawa usul Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) (Pindaan) 2016 akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

“Lebih mengecewakan lagi, pemimpin DAP cuba mengeksploitasi RUU355 yang  tidak boleh mengheret orang bukan Islam tetapi cuba menakut-nakutkan orang bukan Islam serta mengelirukan rakyat,” ujarnya.

Menurut Dr Irmohizam lagi, pemimpin DAP seharusnya menerima RUU355 dengan hati yang terbuka bagi menunjukkan  mereka memahami dan menghormati rakyat yang menganuti Islam.

“RUU355 ini tidak berkaitan dengan orang bukan Islam dan mengapa pembangkang panas punggung,” katanya sambil menambah RUU355 bertujuan untuk meningkatkan hukuman di peringkat mahkamah syariah dan setiap kesalahan agama yang melibatkan umat Islam sahaja dikenakan hukuman. – Sarawakvoice