Pelajar Jepun sedih tinggalkan Sarawak

KUCHING: Pelajar Jepun yang menamatkan kunjungan ke sini selama enam hari petang ini menyimpan banyak kenangan indah ketika si negeri ini.

Rombongan 12 pelajar dari Tokyo University of Foreign Studies itu sebahagiannya meninggalkan negeri ini dengan perasaan sayu sama seperti dialami pelajar Universiti Malaysia Sarawak yang menjadi ahli jawatankuasa yang ditinggalkan.

Tidak hairan ada yang menitiskan air mata dan berharap untuk berjumpa lagi.

Profesor Pelawat, Faridah Mohamed yang mengetuai rombongan pelajar berkata Program Kembara Ilmu Inap Desa itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada budaya dan bahasa Melayu.

Ketika berada di bandar raya ini mulai Isnin lepas mereka mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan menarik termasuk Muzium Kuching, Tebingan Kuching, Taman Buaya Jong dan Pantai Damai.

Menurut Faridah biasanya selepas program itu sekembalinya pelajar ke Jepun mereka akan lebih berminat dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari bahasa itu.

Universiti yang menawarkan lebih 40 bahasa asing itu mewajibkan pelajar mengikuti Program Kembara Ilmu ke negara bahasa terbabit.

Ada daripada pelajar berkenaan akan kembali ke Malaysia untuk mengikuti kursus setahun di beberapa universiti awam termasuk Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pelajar berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menuju ke KLIA dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah untuk meneruskan program.

Ketika di Kedah mereka akan tinggal dengan keluarga angkat. – Sarawakvoice

Leave a Reply