Pas: Ternyata Lim Kit Siang alami sakit jiwa

KUALA LUMPUR:  DAP  kini disifatkan  semakin tertekan dan tidak tentu arah dengan bertindak semberono dan melampaui kewajaran susulan  angkara kelakuan politik sendiri yang gopoh, ego dan rakus hingga menimpa akibat ke atas parti mereka umpama senjata makan tuan.

Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim dalam satu kenyataan berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang paling tersepit menghadapi banyak persimpangan di hadapan, langkah diatur semua akan menjerumus dan memperosoknya.

“Sama ada tersembam menyembah realiti atau kehilangan pegangan sedang dimiliki. Durjana paling besar DAP kerana menyinggung hal ehwal berkaitan Islam dengan semarak keangkuhan dan memperalatkan segelintir pemimpin Islam yang diperkudakan tawaran keduniaan. Juga sikap memaksa pihak lain tunduk kepada kehendak mereka,” katanya.

Terbaharu Kit Siang menggesa akar umbi Pas supaya menolak Presiden, Datuk Seri  Abdul Hadi Awang.

Dakwanya: “Ternyata Kit Siang mengalami sakit jiwa dan fikiran. Kerana dia baharu sahaja menghulur salam perdamaian beberapa bulan lalu yang konon untuk berpadu menentang teraju BN.”

“Kecewa tidak bersambut, dia mahu pula menyaman Presiden PAS. Ketika sama usaha berkoalisi dengan MCA dan Gerakan yang dimusuhinya dahulu. Begitu juga dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Cemasnya ketara saat umum dilihat menolak hasrat DAP yang mengidam kedudukan nombor dua negara,” katanya lagi.

Beliau berkata, Kit Siang resah momokan kreptokrasinya tidak dimamah rakyat Malaysia. Lebih sengsara melihat kejayaan besar penganjuran Himpunan Menyokong RUU Pindaan Akta 355 (H355) di Padang Merbok yang sebenarnya merakam kedudukan penerimaan masyarakat terhadap Pas.

Tetapi ulangan gesaan itu, ujarnya,  menunjukkan kekalutan yang amat sangat kepada DAP khususnya Kit Siang.

“Dia lupa bahawa akar umbi Pas telah memberi isyarat padu dari keputusan Muktamar Pas Pusat 2015 di Kuala Selangor; di mana DAP bertindak memutuskan hubungan dengan Presiden PAS ketika itu, tetapi tidak dengan Pas.

Merasa Pas boleh ‘dibeli’ ketika itu melalui boneka-boneka tajaannya, ternyata meleset dan mereka itu ditunjuk jalan keluar. Walaupun menubuhkan PAN, sekali gus meminggir dan usaha mematikan PAS, tetapi perkembangan menunjukkan sebaliknya,” tambahnya. – Sarawakvoice