Kesabaran 20 tahun Amerika terhadap Korea Utara sudah berakhir

SEOUL: Menteri Luar Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson ketika mengunjungi Korea Selatan pada Jumaat, mengatakan kesabaran 20 tahun AS memujuk Korea Utara berhubung program nuklearnya sudah berakhir.

Tillerson membayangkan di bawah Presiden Donald Trump, tindakan ketenteraan terpaksa diambil jika negara komunis itu membuat ancaman dengan terus menguji dan membangun program nuklearnya.

Kesabaran strategis selama ini yang dimaksudkan Tillerson ialah kaedah tindakan “diplomasi” yang diambil oleh Barack Obama menghadapi Korea Utara selama ini.

Menurut laporan AFP pada Sabtu, Tillerson mempertahan pemasangan sistem pertahanan peluru berpandu Thaad demi menyelamatkan Korea Selatan daripada ancaman jirannya itu.

Meskipun mendapat tentangan China, AS berpendapat Thaad mampu mempertahanan dan melindungi Korea Selatan daripada ancaman pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Selepas melawat Jepun, Tillerson mengunjungi zon demiliterisasi antara kedua-dua negara Korea itu.

“Kami tidak menginginkan untuk masuk dalam konflik tentera, namun jika mereka meningkatkan ancaman dari program senjatanya, kami yakin ia memerlukan tindakan dan pilihan itu tersedia.”

Korea Utara aktif melakukan ujian peluru berpandu dan nuklear dalam beberapa tahun terakhir.

Bahkan, Pyongyang dengan bangga mendakwa mereka sudah menghampiri ujian peluru berpandu jarak jauh membawa nuklear yang mampu sampai sehingga ke AS.

Tillerson dalam kenyataannya turut menuduh China kerana tidak bertegas menangani isu nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

Beliau mahu China menerapkan sepenuhnya sekatan PBB ke atas Korea Utara.

Menurut beliau, mengabaikan perkembangan senjata Korea Utara akan menyebabkan negara tersebut memiliki keupayaan yang dapat mengancam dunia. – Sarawakvoice