KDN benar debat antara Nazri-Dr Mahathir

KLUANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membenarkan majlis perdebatan antara bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dijadual diadakan di Kuala Kangsar, Perak, pada 25 Mac ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya sudah menerima permohonan daripada pihak penganjur untuk mendapatkan permit penganjuran.

“Sudah dibuat (permohonan) dan kita akan benarkan. Malah, saya juga menyokong,” katanya kepada pemberita pada perasmian Majlis Sambutan Hari Penjara ke-227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Penjara Simpang Renggam, di sini.

 Debat yang dijadual diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar itu hebat diperkatakan akhir-akhir ini kerana akan menyentuh isu berbangkit dalam negara antaranya skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Mohamed Nazri, yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas, dilaporkan sudah mengesahkan penyertaan dalam perdebatan itu dan menjamin ia akan berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.

Menyentuh perkara lain, Nur Jazlan mendedahkan setakat bulan ini sahaja, sejumlah 17,000 daripada 50,000 banduan telah dibebaskan melalui sistem parol di seluruh negara kerana telah menunjukkan tatatertib yang baik sewaktu pemulihan dalam penjara.

Menurutnya, sebanyak 800 lagi pula sedang mengikuti sistem itu.

“Walaupun angka itu nampak besar tetapi sebenarnya program ini (parol) kurang mendapat sambutan daripada keluarga banduan.

“Ini kerana kebanyakan keluarga masih lagi trauma akan sikap jenayah banduan dan tidak yakin banduan berkenaan boleh pulih sepenuhnya,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap Yayasan Koreksional yang dilancarkan sempena majlis itu dapat memainkan peranan dalam meningkatkan kemahiran serta memulihkan banduan menerusi pelbagai program.

“Program-program ini bertujuan memberi latihan kepada kakitangan Jabatan Penjara untuk menjadi pengajar bagi melahirkan banduan yang memiliki kemahiran.

“Ia penting agar banduan menjalani kehidupan baharu selepas menjalani hukuman atau disebabkan tidak diterima balik oleh keluarga,” katanya. Bernama