Islam menjadi agama utama global 2070

Pew Research Centre (PRC) pada hujung Januari lepas meramalkan Islam menjadi agama utama dunia menjelang 2070.

Kini, Islam duduk pada tangga kedua selepas Kristian dengan penganut Islam mencapai 1.7 bilion atau sekitar 23 peratus daripada 7.5 bilion penduduk dunia.

Data statistik global menunjukkan populasi Muslim tumbuh lebih cepat mengatasi agama lain.

Menurut Indy100 pada Jumaat yang dipetik Okezone melaporkan peningkatan pesat penganut Islam dipengaruhi faktor sistem kekeluargaan.

Kebanyakan keluarga Muslim memiliki anak dalam jumlah besar, dengan di seluruh dunia setiap wanita Muslim secara purata memiliki 3.1 anak.

Manakala, wanita penganut agama lain secara purata memiliki 2.3 anak.

PRC juga melaporkan, penganut Islam mempunyai generasi berusia muda yang besar.

Pada 2010, rata-rata penganut Islam berusia sekitar 23 tahun dan mengikut sunah Nabi Muhammad SAW, mereka sudah layak mendirikan rumah tangga dan berzuriat.

Hal tersebut dianggap menjadi momentum mempercepat pertumbuhan Islam dengan pesat.

Kajian mendapati warga pelbagai bangsa dan negara di Eropah menjadi penganut Islam dengan Britain menjadi negara paling selesa sebagai tempat tinggal umat Islam.

Islam membentuk majoriti penduduk di 49 negara di seluruh dunia.

Indonesia memiliki populasi Islam terbesar iaitu 210 juta orang meliputi hampir 90 peratus penduduknya Muslim.

India memiliki penduduk Islam kedua terbesar di dunia dengan 176 juta warga, meliputi hanya 15 peratus populasi India.

Malah, lebih ramai orang Islam tinggal di India dan Pakistan iaitu 344 juta berbanding rantau Timur Tengah-Afrika Utara, 317 juta.

Pada 2050 jumlah umat Islam di seluruh dunia meningkat kepada 2.76 bilion, atau 29.7 peratus daripada penduduk dunia.

Asia kini rumah kepada sekitar 62 peratus umat Islam di dunia iaitu 61.7 peratus.

Di Amerika Syarikat, umat Islam dijangka mencapai 2.1 peratus menjelang 2050 berdasarkan corak demografi dan penghijrahan baru-baru ini. – Sarawakvoice