Gara-gara maggi tengah malam, pelajar dibelasah, rosak organ dalam

ALOR SETAR: Berpunca daripada mi maggi, mangsa dikenali sebagai Adam, 14 pelajar Tingkatan Dua dibelasah oleh tujuh pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah maktab rendah sains di Kedah.

Memetik Mynewshub, Adam terlantar di hospital akibat pendarahan dalaman dan rosak saluran pernafasan selepas dibelasah pelajar senior berkenaan.

Pada kejadian sekitar 12 tengah malam, 5 Mac lalu, mangsa dan beberapa kawannya diarah memasak mi maggi milik mereka sendiri untuk pelajar senior.

Tidak berpuas hati dengan sikap pelajar senior yang selalu meminta makanan milik mereka, pelajar junior mencampurkan mi maggi tersebut dengan minyak cap kapak, ubat gatal, deodorant dan ubat kumur.

Menyedari mi maggi tersebut tercemar barang asing, makanan itu dibuang ke dalam tong sampah dan mangsa buli diarah memakannya dari tong sampah berkenaan.

Pelajar senior juga mengarahkan agar pelajar junior memasak semula mi maggi untuk mereka.

Enggan menuruti kehendak “gelojoh” mereka, tujuh pelajar senior berkenaan membelasah mangsa.

Laporan portal berkenaan difahami, pelajar junior mendakwa mereka kerap dibuli dengan mengarahkan mereka masak mi maggi untuk pelajar senior sekitar pukul 2 atau 3 pagi.

Bapa saudara mangsa, Azali Hidzir mendakwa anak saudaranya Adam yang masih trauma terpaksa dibedah di perut yang mengalami pendarahan.

Azali turut mendakwa salah seorang pelajar yang terlibat dalam kejadian buli itu mempunyai rekod empat kali bertukar sekolah melibatkan kes buli.

Azali mempertikaikan bagaimana pelajar yang mempunyai rekod sebegitu dibenarkan bertukar dari satu sekolah ke satu sekokah yang lain.

Azali memberitahu, keluarga mangsa tidak mendiamkan diri dan memastikan sekumpulan pelajar terlibat dibawa ke pengadilan.

Difahamkan keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – Sarawakvoice

Leave a Reply