Filem Kanang Anak Langkau perlu ditonton untuk cetus semangat patriotik – Panglima 1 Div

KOTA SAMARAHAN: Lewat setahun selepas pratonton dan dianjak daripada tarikh asal, filem sejarah “Kanang anak Langkau:The Iban Warrior” akhirnya menemui penonton di 68 pawagam di seluruh negara semalam.

Filem arahan Bade Haji Azmi ini diterbitkan oleh Tangan Seni Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasinal, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.

Bagi Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw, penerbitan filem ini amat bermakna bagi masyarakat tentera, apatah lagi dalam mengenang jasa dan mempamerkan pengorbanan pahlawan, yang pernah hidup dalam kalangan mereka.

“Ini baharu jasa Kanang. Banyak lagi perwira-perwira lain yang jasa mereka belum difilemkan,” katanya lagi.

Stephen berkata, beliau yakin filem itu akan dapat memaparkan semangat dan menceritakan perjuangan yang dilalui oleh seorang pahlawan bernama Kanang dalam mempertahankan negara kita.

“Saya percaya impaknya amat besar kepada semangat juang anak-anak buah atau tentera yang ada sekarang.

Filem ini juga tegasnya, akan menaikkan semangat ramai lagi generasi muda untuk memasuki tentera dan berjuang bersama-sama untuk mempertahan negara yang tercinta ini.

“Saya dah tengok filem ini, dan saya seru semua orang menontonnya kerana ia mengulangi apa yang berlaku kepada Kanang.

“Hampir 90 peratus filem ini tepat. Saya kenal Kanang dan filem ini mengulangi peristiwa saat beliau hampir mati.

“Dan saya puji anak mendiang, Koperal Langgi Kanang, akan memainkan watak bapanya dengan baik,” tambahnya lagi.

Dalam sejarah Malaysia moden, nama Kanang anak Langkau sememangnya cukup tersohor.

Malah nama pahlawan Iban ini cukup diingati kerana keberanian dan ketangkasannya ketika menentang pengganas komunis pada era insurgensi.

Kisah hidup penerima Seri Pahlawan dari Karangan Manok, Nanga Meluan ini mula dikenali ramai apabila novel ‘Kanang: Cerita Seorang Pahlawan’ tulisan Maznan Noordin menemui khalayak pada 1987.

Kanang yang di akhir kehidupannya telah dianugerahkan gelaran Datuk dan menjadi Temenggong masyarakat Iban di kawasan Sri Aman.

Anak kelima daripada enam adik-beradik yang ibu bapanya telah berpisah, dijaga oleh datuk dan neneknya.

Bersekolah hingga darjah tiga, Kanang menjalani kehidupan yang rencam, termasuk sebagai tukang masak, penoreh getah, dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.

Pada 21 April 1960, pemuda Iban ini tanpa sengaja telah berjaya dalam temu duga dan diterima menjadi anggota tentera sebagai Iban Tracker.

Kanang kemudian berkahwin dengan Helen Latai Intie dan dikurnia enam anak.

Meneruskan khidmatnya dengan Rejimen Renjer, Kanang dilantik sebagai anggota pengiring sebelum dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal pada 1 Januari 1966.

Pada bulan Mac 1973, dia berpindah ke kem Terendak Melaka, dan berkhidmat dalam Batalion Kelapan Rejimen Renjer. Di sini, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Seksyen.

Ketika menyertai Gerakan Pukat, di Hutan Tanah Hitam, Perak, Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur. Akibat kecederaan tersebut, beliau tidak sedarkan diri dan terlantar di wad selama 14 bulan.

Banyak yang menyangka bahawa Kanang tidak akan hidup lama tetapi umurnya masih panjang.

Pada tahun 1980, Kanang telah dianugerahi pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis.

Pada tahun 1981 pula, Kanang dikurniai bintang keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkusa (SP).

Kanang kemudian meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda. Pada 1 Mei 1981, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Sarjan Mejar.

Pada 1 Oktober 1980, Kanang dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan sebagai Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985.

Kanang kemudian bersara daripada perkhidmatan pada 30 Mei 1986.

Pada 24 September 2011, beliau menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak ‘Panglima Gemilang Bintang Kenyalang’ (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk.

Pada 3 Januari 2013 pula, Datuk Temenggong Kanang Langkau rebah semasa menonton televisyen di rumahnya di Sungai Apong, selepas mengadu sakit dada.

Segera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak, beliau kemudian diisytiharkan meninggal dunia pada jam 1.45 pagi akibat serangan jantung pada usia 68 tahun. – Sarawakvoice