Dua remaja antara ditahan edar syabu dalam pek gula-gula getah

KUANTAN: Polis Pahang menahan lima suspek termasuk dua remaja bawah umur berusia 15 dan 16 tahun bagi membantu siasatan ke atas rampasan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin, ekstasi dan Eramin 5 pada 14 Mac lalu.

Salah seorang suspek ialah warganegara Singapura.

Sebahagian daripada dadah berkenaan dibungkus dalam pek menyerupai gula-gula getah “magic chew” disyaki syabu dengan keseluruhan rampasan bernilai RM35,221.

Dadah yang dibungkus semula dalam pek gula-gula dan minuman dijual antara RM80 hingga RM250.

Menurut Kosmo.com, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat pada sidang media akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, turut dirampas ialah kenderaan jenis Toyota Harrier dan Proton Saga bernilai RM130,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia pada 17 Mac lepas melaporkan dua serbuan dilakukan pada petang di sebuah rumah di Taman Maju Jaya dan Medan Selera 66, Jalan Gambut.

Menurut Thiam Huat, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah berkenaan dari Kuala Lumpur dan mengedarkannya di sekitar pusat hiburan di bandar Kuantan.

Seawal Ogos 2016, polis Miri mengesan taktik terbaharu menjual dadah syabu di Lawas, Limbang menggunakan penyedut minuman serta pembalut gula-gula getah.

Syabu disimpan di dalam penyedut minuman untuk dijadikan tiub kecil dan disembunyikan di dalam pembalut gula-gula getah bagi mengelak daripada dikesan.

Bernama melaporkan polis menjumpai taktik tersebut ekoran tertangkapnya suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun berasal dari Labuan di sebuah rumah di Jalan Punang, Lawas.

Hasil serbuan itu, satu bekas pembalut gula-gula getah warna hijau jenama terkenal dengan di dalamnya mengandungi 18 tiub penyedut diisi syabu dijumpai di dalam beg sandang.

Suspek dilaporkkan hanya menjual syabu tersebut dengan pelanggan tetap sahaja. – Sarawakvoice

Leave a Reply