Debat Mahathir-Nazri bakal diukur dari segi hujah dan bagaimana hujah ditangkis

KAMPAR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta biarlah hanya para penyokong pembangkang  yang mengikuti debat antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu sebaliknya meminta ahli-ahli UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) serta penyokong kerajaan supaya tidak hadir ke sesi debat dengan mantan Perdana Menteri itu.

Nazri juga mahu memberi peluang kepada pengundi Padang Rengas hadir dan mendengar debat yang telah menarik perhatian dan ditunggu-tunggu itu kerana bakal menampilkan antara buku dengan ruas.

Nazri dan Mahathir telah saling mencabar sejak 2006 lagi, dan akhirnya Nazri bersetuju menyahut cabaran bekas Presiden UMNO yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

“Jadi saya menyeru kepada ahli-ahli UMNO, penyokong kerajaan jangan datang ke Padang Rengas. Cukuplah pengundi-pengundi saya dari Padang Rengas datang untuk sama-sama dengan pihak pembangkang daripada seluruh negara menghadiri dan mendengar wacana saya dan Tun Mahathir,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pra sejarah Perang Dunia kedua di Kampar, semalam.

Di sebalik masalah berkaitan isu permit dan keizinan menggunakan dewan, Nazri yakin debat tentang pelbagai isu termasuk 1MDB dan BMF itu akan diteruskan.

“Saya bentang undang-undang ini, saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh. Apa yang kita nak buat ialah wacana bukan demontrasi,” tegas Nazri yang terkenal tegas dan lantang.

Kejayaan debat ini bukan sahaja diukur dari segi perjalanannya yang lancar tanpa sebarang gangguan mereka yang tidak bertanggungjawab, tetapi bagaimana masing-masing pendebat membentangkan fakta dan hujah dan menangkis hujah lawan melalui wacana tandingan yang tangkas dan meyakinkan.