Bomba pancut air leraikan parang digenggam lelaki kurang siuman yang mengamuk di Kuching

KUCHING: Khidmat pasukan bomba dan penyelamat terpaksa digunakan bagi memancutkan air terhadap seorang individu kurang siuman yang mengamuk berhampiran kediamannya di Jalan Tabuan petang semalam.

Lelaki tersebut sebelum itu enggan melepaskan dua bilah parang yang dipegang kedua-duanya, biarpun dipujuk oleh ahli keluarga dan polis.

Malah empat kereta peronda polis berada di lokasi dengan lapan anggota bagi membantu menangkap lelaki tersebut yang menunjukkan tanda-tanda agresif.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.13 petang dan sebuah jentera serta sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang.

“Setelah melakukan perbincangan, kita telah bertindak melepaskan pancutan air menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera ke arah tangan suspek bagi meleraikan genggaman parang tersebut.

“Setelah keadaan terkawal dan parang jatuh, suspek kemudianya diberkas oleh pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, suspek mengalami sedikit kecederaan kerana jatuh ke sisi parit simen dan dirawat oleh pasukan EMRS selepas berjaya dikawal.

Difahamkan, ia merupakan kali kedua suspek ini bertindak agresif dalam tempoh setahun. – Sarawakvoice