Zahid gesa Myanmar segera tamatkan krisis penduduk Islam Rohingya

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Myanmar untuk segera menamatkan krisis dihadapi penduduk minoriti Islam Rohingya di Rakhine.

Berucap ada majlis penutupan Persidangan Rohingya Antarabangsa 2017 di sini, beliau berkata tindakan itu akan membuktikan kepada masyarakat ASEAN bahawa ASEAN mempunyai hati nurani dan boleh menerima penduduk minoriti Islam Rohingya sebagai warganegara mereka.

“Jika Myanmar tidak mahu mengiktiraf Rohingya sebagai warganegara mereka, dengan itu mereka perlu merumuskan penyelesaian lain, dan bukannya menghalau mereka dari negeri Rakhine,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, menegaskan bahawa “apa yang telah berlaku dan masih berlaku” terhadap penduduk Islam Rohingya adalah amat mengecewakan dan tidak boleh diterima.

Menggesa Kaunselor Negara Myanmar yang juga Menteri Luarnya Aung San Suu Kyi supaya menghentikan apa yang disifatkannya sebagai “krisis paling teruk” itu, beliau berkata, “Kami benar-benar berharap bahawa apa yang berlaku di negeri Rakhine akan berakhir secepat mungkin dan muktamad.”

Walaupun Myanmar mendakwa “penghapusan” Rohingya sebagai isu dalaman negara mereka, Ahmad Zahid berkata Myanmar sepatutnya tahu yang tindakan mereka itu amat bahaya dan boleh mencetuskan “rasa tidak senang” masyarakat Islam seluruh dunia.

Menyelar Myanmar kerana tidak mempedulikan mesej diplomatik Malaysia supaya menamatkan krisis itu, timbalan perdana menteri mengingatkan republik itu supaya ingat akan objektifnya menyertai ASEAN pada Julai 1997 adalah untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau dengan menghormati keadilan.

“Sekiranya anda lihat kepada sejarah ASEAN, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang bangkit melindungi Myanmar apabila ia bersendirian. Kami bertegas dan berusaha untuk kemasukannya dalam ASEAN.

“Saya percaya tindakan seperti membakar, membunuh dan mencabuli hak asasi manusia tidak tertulis dalam kitab suci mana-mana agama,” katanya.

Ahmad Zahid memberitahu persidangan itu bahawa Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat Rohingya, dan ia dilakukan bukan kerana Malaysia kaya tetapi atas sifat belas kasihan terhadap manusia. Bernama