Tak bayar PTPTN, tak boleh terbang ke luar negara

KUALA LUMPUR: Selain disenaraikan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS), peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak menjelaskan bayaran balik pinjaman tertunggak turut di senarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Mengatasi masalah ini, PTPN menyediakan kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ini bertujuan memudahkan peminjam yang telah disenarai hitam yang mahu ke luar negara, melunaskan pinjaman mereka di kaunter berkenaan.

Menurut Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah, kaunter berkenaan beroperasi 24 jam dengan pegawai bertugas menyediakan khidmat rundingan kepada peminjam terbabit.

Bercakap kepada Bernama di Parlimen, Shamsul berkata pembukaan kaunter tersebut merupakan antara inisiatif PTPTN mengutip lebih banyak pinjaman tertunggak.

Berdasarkan kenyataan portal rasmi PTPTN, peminjam boleh disenarai hitam jika masih ingkar membuat bayaran balik pinjaman atau mempunyai tunggakan.

Justeru tindakan senarai hitam dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyebabkan peminjam tidak dibenarkan memperbaharui passport dan/atau dihalang daripada berangkat ke luar negara.

Antara tindakan yang dikenakan terhadap peminjam ialah mereka dikehendaki membayar keseluruhan hutang pinjaman atau keseluruhan tunggakan termasuk semua kos yang dikenakan sebelum nama mereka dikeluarkan daripada senarai hitam.

Sekiranya tidak mampu, peminjam dinasihatkan agar berunding dengan PTPTN bagi membuat bayaran mengikut jumlah yang dipersetujui oleh PTPTN atau penstrukturan semula pinjaman atau kaedah lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Tahun ini, PTPTN menyasar mengutip semula pinjaman RM4 bilion.

Peminjam yang tersekat perjalanan ke luar negara perlu berunding dan menyelesaikan tunggakan mereka serta-merta di kaunter lapangan terbang bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan.

PTPTN mencari pelbagai kaedah membolehkan institusi berkenaan memberikan pinjaman kepada pelajar baharu mengikut jumlah pinjaman pada kadar asal seperti sebelum ini.

Selain itu, menurut portal rasmi PTPTN, peminjam PTPTN dapat menyemak senarai hitam melalui saluran berikut:

i. Portal Rasmi PTPTN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

ii. Careline PTPTN di talian 03-2193 3000.

iii. Hadir di kaunter PTPTN / JIM

Peminjam dinasihatkan agar berunding dengan PTPTN dalam tempoh tujuh hari sebelum ke luar negara bagi mengelak sebarang sekatan di lapangan terbang atau di pintu sempadan.

Antara dokumen yang dibawa semasa rundingan ialah:

i. Salinan slip gaji dua bulan terkini.

ii. Salinan Penyata KWSP terkini.

iii. Dokumen lain yang berkaitan.

Sebagai bantuan antara portal, peminjam PTPTN boleh klik disini bagi soalan lazim berkaitan senarai hitam. – Sarawakvoice

Leave a Reply