SPM: Kecemerlangan pelajar bukan kerana banyak  ‘A’

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan seseorang pelajar bukan diukur berdasarkan kepada jumlah ‘A’ yang diperoleh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata walaupun keputusan SPM itu penting bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, ia bukan tanda aras bagi prestasi pelajar itu pada masa akan datang.

“Apabila pelajar lepasan SPM berjaya memasuki universiti yang ada di dalam ataupun luar negara, maka prinsip permainan itu sudah berubah.

“Maknanya kita akan melihat ketika mereka di peringkat itu bukan sekadar pada kecemerlangan akademik, tetapi kecemerlangan dalam kemahiran lain yang juga diperlukan semasa mereka mencari kerja kelak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Memetik laporan portal pekerjaan Jobstreet, Mohammad Shatar berkata antara permasalahan dihadapi majikan semasa memilih tenaga kerja bukan disebabkan ketidakmampuan graduan mempamerkan prestasi hebat dalam akademik, tetapi kelemahan mereka dalam kemahiran lain seperti komunikasi dan kepimpinan.

“Jadi, saya mengharapkan pelajar yang baharu mendapat keputusan SPM hari ini, jangan terperanjat dan merasakan inilah segala-galanya… jangan pula berasa kalau keputusan tidak baik maka itulah pengakhiran hidupnya,” katanya.

Tambahnya, masih banyak pilihan yang boleh diambil para pelajar kerana pihak kerajaan menyediakan pelbagai platform kepada lepasan SPM seperti kolej komuniti, kolej politeknik dan institut kemahiran.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu pada Khamis berkata 8,647 daripada 434,535 atau 2.13 peratus calon SPM 2016 memperoleh semua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 9,721 calon pada tahun 2015.

Seramai 102 calon atau 1.94 peratus calon memperoleh A+ pada tahun ini berbanding 163 calon atau 2.6 peratus pada tahun sebelumnya.