PM Najib: Rakyat perlu terus yakin terhadap usaha kerajaan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia terus yakin terhadap usaha kerajaan kerana keyakinan itu merupakan suntikan semangat untuk kerajaan terus memperteguh ekonomi negara.

Dalam entri terbaharunya dalam blog NajibRazak.com, Najib menegaskan kerajaan akan berusaha agar ekonomi negara terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat jelata.

Beliau berkata, kemantapakan ekonomi sesebuah negara boleh diukur melalui banyak aspek, antaranya melalui pelaburan langsung asing kerana ia menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi negara.

“Bukan mudah untuk menarik pelabur asing kerana ia menjadi rebutan antara negara di seluruh dunia,” kata perdana menteri.

Menurut beliau data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)  menunjukkan pelaburan asing pada 2016 meningkat 63.4 peratus berbanding pada  2015. 

“Kita berjaya meraih RM59 bilion melalui pelaburan asing pada tahun lepas berbanding RM36 bilion pada 2015. Ini menjadikan jumlah pelaburan pada tahun lepas sebanyak RM207.9 bilion,” katanya.

Peningkatan yang mengagumkan ini menunjukkan keyakinan para pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia.

“Sekiranya pelabur luar yakin terhadap ekonomi Malaysia, adakah kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai alasan lain untuk menidakkan fakta ini?” soal beliau.

Malah, kata perdana menteri, keyakinan pelabur ini menunjukkan bahawa dasar-dasar kerajaan dalam menentukan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

“Secara tidak langsung, dakwaan kononnya negara Malaysia akan bankrap atau pun Malaysia merupakan sebuah negara yang gagal, merupakan fitnah dan tuduhan yang berniat jahat,” kata perdana menteri. Bernama