Parti anti-Islam Wilders kalah, hanya pungut 18% undi pemilu Belanda

AMSTERDAM: Parti Kebebasan (PVV), populis dan anti-Islam sangat dikhuatiri menang besar ternyata hanya berjaya meraih 18 peratus undi dalam pilihan raya Belanda baru-baru ini.

Sebaliknya parti pimpinan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, Parti Rakyat untuk Kebebasan dan Demokrasi (VVD) memenangi kerusi parlimen terbanyak dalam pilihan raya tersebut.

Agensi berita Belanda, ANP melaporkan Rutte menang 32 kerusi, manakala tiga parti lain; PVV, Parti Kristian Demokrat dan D66, masing-masing memperoleh 19 kerusi.

Sebelum ini, parti pimpinan Geert Wilders yang dianggap anti-Islam unggul dalam pungutan pendapat, namun sokongan memudar dalam tempoh beberapa hari terakhir.

Geert Wilders, pemimpin parti anti-Islam, PVV

Rutte berkata, “hari ini adalah pesta demokrasi. Rakyat Belanda mengatakan tidak untuk populisme yang salah,” katanya  merujuk pada parti Wilders.

Parti VVD pimpinan Rutte kehilangan beberapa kerusi sejak pilihan raya terakhir, kini berjaya dikuasainya semula.

Pembuangan undi pada pilihan raya kali ini mencatat rekod tertinggi bagi tempoh 30 tahun, dengan 81 peratus turun mengundi.

Melihat kepada trend ini sebagai permulaan di Eropah, apakah yang akan berlaku dalam pilihan raya negara Kesatuan Eropah (EU) yang lain melibatkan parti populis yang memperlihat sikap antipendatang dan antipelarian.

Perancis akan mengadakan pilihan raya  presiden bulan depan, sementara Jerman mengadakan pilihan raya umum pada September.

Kaunselor Jerman Angela Merkel segera menelefon Rutte mengucapkan tahniah.

Martin Schulz, mantan presiden Parlimen turut melahirkan rasa lega apabila parti pimpinan Wilders kalah.

“Kita harus terus berjuang bagi Eropah yang bebas dan terbuka,” kata Schulkz.

Meskipun menang, parti VVD pimpinan Rutte perlu melakukan pakatan dengan parti lain termasuk Kristian Demokrat (CDA) dan Demokrat 66 (D66) yang pro-EU untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan.

Empat hari sebelum pilihan raya, Wilders yang anti-Islam berjanji jika terpilih beliau akan menghapus Islam dari Belanda.

Sejumlah pemimpin sayap kanan Belanda menggunakan isu pendatang dan pelarian bagi mendapat sokongan termasuk Parti Kebebasan pimpinan Wilders.

Wilders sudah lama menegaskan dirinya seorang yang sangat anti-Islam, antiimigrasi dan anti-EU.

Media antarabangsa menggambarkan beliau sebagai Donald Trump Belanda, bahkan Wilders dianggap lebih ekstrem lagi daripada Trump.

Wilders bersumpah menghapus Islam dari Belanda dengan menutup masjid dan sekolah Islam, melarang al-Quran serta mengusir pencari suaka, imigran dan pelarian dari negara Islam.

Belanda merupakan rumah bagi 6 peratus warga Muslim Maghribi dan Turki dari jumlah keseluruhan penduduk Belanda. – Sarawakvoice

Leave a Reply