Kopi tahi gajah, RM57 secawan pada 2015, kini melonjak RM132 secawan

CHIANG MAI: Berbeza dengan kopi musang atau luwak, kopi gajah dihasilkan menerusi proses pemakanan gajah yang mengamalkan kandungan diet sayuran seperti buah-buahan dan tebu.

Di sebuah kem di pergunungan Mae Tang utara Thailand, tapak penempatan gajah di Chiang Mai Thailand, gajah turut diternak bagi menghasilkan kopi eksotik, lembut dan beraroma hasil kumuhan gajah di kem tersebut.   

Kopi tahi gajah ini dijual dengan harga sekitar AS$1,000 (RM4,400) sekilogram atau AS$30 (RM132) secawan.

Memetik berita Bernama, pemilik kem Boontha Chailert berkata, hanya gajah sihat diberi makan biji kopi itu yang mengambil masa tiga hari untuk dicernakan.

Biji kopi dihasilkan daripada kumuhan akan dikutip dengan tangan sebelum menjalani proses pengeringan selama lapan bulan.

Berita kopi tahi gajah ini turut pernah disiarkan Mail Online pada Jun 2015 bersumberkan AFP.

Di kawasan berbukit-bukit yang subur di pedalaman utara Thailand, bersempadan dengan Myanmar-Laos yang turut terkenal sebagai lokasi penyeludupan dadah, pengusaha kopi warga Kanada, Blake Dinkin, 44, menjalankan perniagaan kopi di kawasan tersebut.

Dinkin pengasas jenama Black Ivory Coffee berkata, kopi yang terhasil dari saluran penghadaman gajah dapat menghasilkan minuman mewah kepada pencinta kopi.

Dinkin berkata, sebelum itu beliau pernah mempertimbang mengusahakan kopi luak atau musang, atau singa atau ziarafah, tetapi selepas berkira, akhirnya memilih untuk menghasilkan kopi daripada tahi gajah.

Menurut beliau, gajah memakan kopi pada musim kemarau di Asia Tenggara.

Memetik AFP, Dinkin mengaku mengambil masa sembilan tahun merealisasikan impian tersebut mencari formula sesuai selepas mendapat keputusan awal kopi tersebut langsung tidak boleh diminum.

Proses penghadaman dalam perut gajah mengambil masa lebih 17 jam dengan asid pencernaan menghilangkan sedikit rasa kepahitan pada biji kopi tersebut.

Enzim dalam perut gajah berfungsi seperti periuk masak, perlahan-lahan biji kopi yang dimakannya diperap bersama herba dan buah-buahan yang dimakannya.

Dinkin berkata, beliau kehilangan banyak biji kopi ketika gajah mandi kerana selalunya gajah akan membuang air besar di dalam sungai ketika mandi.

Bagi menghasilkan satu kilogram kopi, seekor gajah perlu memakan sekitar 33 kilogram kopi bersama makanan lain seperti pisang dan tebu.

Isteri penggembala gajah kemudian mengumpul biji kopi dari najis gajah sebelum membasuh dan dikeringkan di bawah sinaran matahari.

Pada 2015, Black Ivory Coffee menghasilkan kopi berharga sekitar AS$1,880 (RM8,272) sekilogram, yang dijual secawan AS$13 (RM57).

Menurut Dinkin, Black Ivory Coffee sedia memasuki pasaran di Perancis; Switzerland; Copenhagen, Denmark, Moscow dan Rusia, selain dijual di hotel mewah Asia seperti di Thailand, Singapura dan Hong Kong. – Sarawakvoice

Leave a Reply